BUCHAREST: Penyakit zaman pertengahan yang dianggap sudah lama lenyap dari Eropah iaitu kusta atau penyakit Hansen muncul semula selepas kes baharu dikesan di Romania dan Croatia buat pertama kali dalam tempoh lebih 30 tahun.
Pihak berkuasa kesihatan di kedua-dua negara Balkan itu mengesahkan masing-masing satu kes jangkitan, sekali gus mencetuskan kebimbangan awal mengenai kemungkinan kebangkitan semula penyakit berjangkit berkenaan di Kesatuan Eropah.
Romania dan Croatia sebelum ini bebas daripada kusta sejak 1981 dan 1993, namun pihak berkuasa menegaskan risiko penularan kepada orang awam adalah rendah berikutan sifat penyakit itu yang memerlukan pendedahan berpanjangan untuk merebak.
Di Romania, Menteri Kesihatan mengesahkan satu kes serta tiga kes disyaki melibatkan pekerja warga Asia di sebuah pusat urut di Cluj-Napoca, Transylvania.
Seorang daripada individu terbabit dilaporkan baru pulang dari Indonesia, sebuah negara yang masih merekodkan kes kusta.
Sementara itu di Croatia, pihak berkuasa kesihatan mengesahkan satu kes terpencil di bandar Split membabitkan seorang pekerja warga Nepal yang telah menetap di negara itu sejak dua tahun lalu.
Pesakit berkenaan kini menerima rawatan, manakala individu yang mempunyai kontak rapat turut diberikan rawatan pencegahan.
Pakar kesihatan awam menegaskan kusta kini boleh disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan antibiotik, walaupun tempohnya panjang dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit itu masih endemik di beberapa negara termasuk India, Brazil dan Indonesia dengan kes terpencil di Eropah dipercayai berkait pergerakan migrasi global.










