KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut terhenti keahlian Pas.
Status kekosongan kerusi itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat dan Speaker juga akan memohon untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut.
Walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu tiga tahun namun Rus’sele berpandangan terdapat keperluan untuk diadakan PRK di ketiga-tiga kerusi berkenaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Tiga ADUN yang gugur itu masing-masing Saad Seman (Chuping) Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Rus’sele berkata, beliau telah menerima notis bertulis daripada ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun dan memutuskan berlakunya kekosongan luar jangka bagi memenuhi kehendak Fasal (1) (a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi tiga DUN berkenaan.
“Bagi tujuan itu, saya akan memaklumkan secara rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan kepada SPR dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Semalam Pas mengumumkan keberhentian ahli tiga ADUN berkenaan berkuat kuasa serta merta.
Ia susulan tindakan lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) Perlis termasuk tiga dari Pas yang bertemu Raja Perlis menyatakan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Rus’sele berkata, pihaknya juga mengambil maklum bahawa Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Negeri Perlus telah dijalankan pada 19 Disember lalu maka tempoh tiga tahun usia DUN Perlis telah terakru pada 18 Disember.
“Berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk diadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut bila mana usia DUN Perlis telah mencecah tiga tahun atau lebih.
“Namun pada hemat dan pertimbangan saya berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku, saya berpuas hati bahawa tiga kekosongan luar jangka tersebut daripada segi bilangan yang membentuk majoriti semua ADUN Perlis adalah terjejas.
“Dan dalam keadaan itu, tiga kekosongan tersebut hendaklah diisi semula demi kepentingan dan kestabilan kerajaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Rus’sele berkata, beliau juga akan menggunakan budi bicara sebagai Speaker seperti diperuntukkan melalui Provinso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi memaklumkan kekosongan luar jangka itu kepada SPR.
“Alasan-alasan tentang terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti bagi DUN Perlis akan saya perincikan dalam makluman bertulis kepada SPR,” katanya.-UTUSAN










