Zakat Perak Al-Ridzuan perkasa sistem pungutan zakat - Utusan Malaysia

Zakat Perak Al-Ridzuan perkasa sistem pungutan zakat

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan majlis pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini melancarkan Zakat Perak Al-Ridzuan atau Zapar iaitu entiti korporat milik penuh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) yang ditubuhkan bagi memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.

Bertitah pada majlis pelancaran Zapar di sini hari ini, Sultan Nazrin bertitah, penubuhannya merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi kutipan zakat.

Baginda bertitah, penubuhannya merupakan suatu langkah dinamik untuk memungkinkan perkhidmatan kutipan zakat yang lebih berkualiti dan responsif dapat diberikan kepada pelanggan dan rakyat.

Titah baginda, pewujudan Zapar memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan para muzakki atau pembayar zakat.

“Keutamaan tatakelola yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di Zapar akan menyuburkan peranan institusi Islam, seiring arus kontemporari.

“Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menetapi sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun.

“Kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima, sekali gus meningkatkan ketelusan integriti institusi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, dengan trend perolehan kutipan zakat yang semakin meningkat serta cabaran tugas yang turut meningkat, amatlah bertepatan untuk MAIPk menubuhkan Zapar.

Titah baginda, MAIPk mengambil pendekatan berani, merintis langkah strategik, melakukan penghijrahan, mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu dengan menubuhkan entiti korporat itu.

Baginda bertitah, keyakinan umat Islam terhadap MAIPk hendaklah terus ditingkatkan melalui tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti.

“Islam menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan dan kuasa,” titah baginda.

Sementara itu, MAIPk dalam kenyataan berkata, Zapar yang terletak di Pusat Zapar di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini, merupakan sebuah entiti korporat milik penuh MAIPk yang ditubuhkan bagi memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.

Penubuhan Zapar sebagai syarikat sendirian berhad menandakan satu era baharu tata kerja urusan pungutan zakat di Perak dengan pendekatan lebih professional dan efisyen, berteraskan digitalisasi selaras dengan keperluan dan kemajuan teknologi semasa.

Langkah strategik itu bagi memastikan pengurusan kutipan zakat terus ditambahbaik dan telus untuk meningkatkan keyakinan individu Muslim (muzakki) juga sektor korporat dan perniagaan.

Zapar akan menjadi platform utama kepada umat Islam, syarikat dan institusi korporat untuk menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat serta menyemarakkan budaya wakaf tunai.

Pendekatan itu dijangka mampu melonjakkan kutipan zakat dan memperluaskan manfaatnya kepada golongan asnaf yang layak.

Zapar akan menguruskan segala urusan berkaitan pungutan zakat manakala agihan zakat akan terus dikendalikan sepenuhnya oleh MAIPk. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN