Farah Nadeera Zain atau lebih mesra dikenali sebagai Nadeera, kini bukan lagi nama asing dalam dunia seni suara tanah air.
Bermula dari pentas program realiti seperti Vokal Bukan Sekadar Rupa dan Mentor Legend, boleh dikatakan, Nadeera telah berupaya membuktikan bahawa bakat yang tulen pasti akan menemui jalan kemanisannya.
Mungkin juga tidak salah untuk wanita berusia 32 tahun ini mengukir senyuman lantaran segala onak dan duri yang pernah dilaluinya sebelum ini umpama telah berbayar apalagi usahanya berkecimpung dalam bidang seni ini telah dimulakan sejak 2012.
Mengenang masa lalu, penyanyi kelahiran Mersing, Johor ini ternyata tidak pernah lupa dengan jasa baik mentornya, Datuk Zainal Abidin, yang dianggap telah banyak mencurahkan ilmu dan membantunya meneroka dunia seni muzik dengan lebih meluas.
Bagi Nadeera, Zainal bukan sekadar artis besar yang dikagumi ramai, tetapi juga seorang mentor yang banyak memberi tunjuk ajar dan membuka matanya kepada nilai seni yang sebenar.
“Kalau bercakap mengenai Zainal, dia adalah orang pertama yang mengangkat dan mengenal bakat saya.Semasa saya menyertai Mentor Legend, dialah yang betul-betul pertahankan prinsip untuk jadikan saya sebagai protegenya.
“Sampai ke hari ini, dia masih lagi sokong saya. Macam tempoh hari, dia sanggup datang ke showcase saya di PJ Pac, walaupun dalam kesibukan jadualnya.
“Justeru, saya tak akan lupa apa yang Zainal ajarkan kepada saya. Dia ajar saya tentang kejujuran dalam menyanyi, tentang rasa dan makna,”ujarnya.
Selain itu, Nadeera juga mengakui proses menimba ilmu dengan Zainal bukanlah semudah yang disangka.
Boleh tahan garang, kata Nadeera, dia tidak pernah menyimpan perasaan kecil hati dengan Zainal kerana sedar bahawa ketegasan yang dipotretkan oleh mentornya itu adalah demi kebaikannya sendiri.
“Kenapa Datuk Zainal masih sukses? Sebab dia adalah orang yang sangat berdisiplin. Masa saya di bawah jagaannya, disiplin memang kena jaga.
“Saya pernah datang lambat kena maki. Perkataan apa saja yang tidak keluar tetapi itulah yang mengajar dan membentuk diri saya untuk kental.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar, saya tidak akan lupa sampai bila-bila,”katanya.
Konsert berskala besar
Dalam pada itu, kejayaan yang dilakar menerusi penganjuran showcase An Evening With Nadeera yang berlangsung di PJ Pac, Petaling Jaya, baru-baru ini seakan menyuntik lebih banyak semangat buat dirinya untuk terus menghasilkan karya bermutu khusus buat peminat.
Baginya, showcase yang dianjurkan oleh Mask Team dan Usanita Sdn. Bhd itu bukan satu titik akhir, tetapi permulaan kepada impiannya yang lebih besar.
Justeru, Nadeera tidak menolak, sebagai seorang penyanyi, sudah tentu dia juga menanam hasrat untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar suatu hari nanti, yang mampu memuatkan ribuan penonton dalam satu malam penuh makna.
Baginya, selagi ada sokongan ramai selain berpaksikan kepada rezeki kurniaan Tuhan, impian itu tidak mustahil dapat direalisasikan.
“Insya-Allah, saya nak berterima kasih kepada semua penyokong saya yang selama ini menjadi tulang belakang. Mungkin, untuk selepas ini, akan ada lagi dalam skala yang lebih besar. Impian itu sememangnya ada, tentulah.
“Saya pun teringin sangat nak buat konsert, nak ada konsert yang beribu-ribu orang datang tengok saya. Insya-Allah, jika ada rezeki, kita teruskan bermimpi. Rezeki itu, kalau ada, ia tetap akan ada,”katanya.
Selain itu, kongsi Nadeera, dia juga merancang untuk menghasilkan sebuah single baharu sebagai langkah serius membina jenama muziknya yang tersendiri.
Kata Nadeera, dia mahu keluar dari zon selesa, bereksperimen dengan genre baharu dan bekerjasama dengan lebih ramai penggiat muzik tempatan.
“Proses rakaman masih belum bermula, tetapi lagu itu kita sudah ada. Saya masih belum boleh dedahkan siapa dia. Sebenarnya, saya juga fokus nak hasilkan album sebab sudah berjanji dengan peminat-peminat,’ ujarnya.
“Saya pun mungkin akan buat lagu untuk album saya juga nanti. Doakan saya mampu gapai impian ini,”katanya.-UTUSAN