WiEX Expo jadi acara tahunan, perkukuh peranan wanita sebagai pengeksport

WiEX Expo jadi acara tahunan, perkukuh peranan wanita sebagai pengeksport

DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri) bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat kiri) Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kiri) dan Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tiga kanan). -UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperkukuh peranan wanita dalam sektor perdagangan global menerusi penganjuran Ekspo Pengeksport Antarabangsa Wanita (WiEX) 2025 sebagai acara tahunan bermula tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, WiEX akan menjadi platform strategik yang menghimpunkan usahawan wanita Malaysia dalam satu ekosistem eksport yang lebih komprehensif dan kompetitif.

“WiEX akan diteruskan sebagai satu acara tahunan.

“Ia akan menjadi sebuah platform komprehensif yang menghimpunkan pameran produk dan perkhidmatan untuk eksport, padanan perniagaan strategik dengan pembeli antarabangsa, serta forum bersama tokoh-tokoh industri global,” katanya dalam ucaptama semasa Forum WiEX 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, WiEX bukan sahaja menyokong penyertaan wanita dalam sektor perdagangan antarabangsa, malah memberi pengiktirafan bahawa wanita berpotensi menjadi peneraju dalam landskap eksport masa hadapan negara.

“Program WiEX Expo juga akan menjadi simbol komitmen kita untuk memastikan wanita bukan sekadar penyumbang, malahan peneraju dalam landskap eksport masa hadapan,” katanya.

Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada langkah holistik kerajaan dalam menangani cabaran tarif Amerika Syarikat (AS) serta memperluas daya saing pengeksport Malaysia, termasuk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dipimpin wanita.

Kerajaan juga menyalurkan peruntukan khas RM50 juta kepada MATRADE tahun ini untuk memperkukuh program promosi eksport, termasuk bantuan kepada usahawan wanita dalam mengakses pasaran luar.

WiEX dijangka menjadi pemangkin penting kepada jaringan perdagangan baharu, pemadanan perniagaan bersasar serta pendedahan kepada tren dan piawaian antarabangsa bagi memperkasakan eksport wanita Malaysia.

Mengulas mengenai rundingan tarif, Zafrul berkata, beliau sendiri akan mengetuai misi rundingan balas terhadap tarif AS bermula 16 Jun ini di Washington sebagai sebahagian daripada pendekatan proaktif MITI dalam menangani impak dasar perdagangan AS ke atas eksport negara.

Menurutnya, selain berunding secara langsung dengan pihak kerajaan dan dewan perniagaan AS, MITI juga menjalankan libat urus berterusan dengan Kedutaan AS di Malaysia bagi menyampaikan maklum balas industri tempatan yang terkesan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN