PETALING JAYA: Kehadiran Malaysia di pentas utama dunia seperti Sidang Kemuncak Pemimpin G20 membuktikan dasar luar negara kekal bebas, berdaulat dan tidak terikat kepada mana-mana kuasa besar.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Tengku Abdul Aziz berkata, dakwaan Malaysia telah ‘terikat tangan’ selepas menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) adalah tidak berasas kerana negara terus mengekalkan pendirian neutral dalam hubungan antarabangsa.
Katanya, Malaysia sentiasa memilih untuk berinteraksi dengan semua negara berdasarkan kepentingan nasional serta prinsip hubungan luar yang bebas.
“Ada yang mengatakan selepas menandatangani ART, tangan Malaysia terikat dan kita tidak lagi mampu membentuk dasar luar yang neutral.
“Umum mengetahui hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan bukanlah begitu mesra, namun kita tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengundang Presiden Afrika Selatan ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur atau menerima jemputan negara itu ke Sidang Kemuncak G20,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tengku Zafrul berkata, penyertaan Malaysia dalam G20 pada tahun ini turut membuka ruang untuk menyuarakan pandangan negara membangun dan memperjuangkan perdagangan global yang lebih adil serta inklusif.
“Jemputan ke G20 membuktikan pengiktirafan terhadap peranan aktif Malaysia di persada antarabangsa dan kekuatan hubungan kerjasama Selatan-Selatan,” katanya.
Delegasi negara diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta turut diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan serta wakil perniagaan.
ART antara Malaysia dan AS yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 menyaksikan komitmen Washington mengekalkan kadar tarif 19 peratus terhadap barangan asal Malaysia.
Selain itu, 1,711 produk Malaysia turut dikenal pasti untuk menikmati kadar tarif timbal balas sifar peratus termasuk minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa. – UTUSAN










