INDUSTRI Seni mengenali seniwati Fauziah Ahmad Daud sebagai anak wayang yang berpegang teguh kepada prinsip dan pendirian hidupnya.
Jelas sekali pelakon, penerbit dan pengarah ini mewarisi ketegasan itu daripada kedua orang tuanya, lebih lebih ayahnya, Allahyarham Datuk Ahmad Daud.
Sikap tegas yang diwarisi Fauziah membuatkan dia selamat daripada dieksploitasi dan dimanipulasi.
Malah satu ketika dahulu, aktres ini pernah menolak berpakaian tidak senonoh dalam melakonkan sebuah adegan menerusi sebuah filem terbitan negara seberang sekitar era 80-an.
“Filem itu bertajuk Gadis Hitam Putih yang merupakan projek kerajaan Malaysia dan Indonesia yang diarahkan sutradara Wahyu Sihombing.
“Terdapat satu adegan dalam filem itu yang memerlukan saya menyarungkan baju tidur yang terlampau jarang untuk melakonkan babak menggoda watak abang ipar lakonan pelakon Indonesia, Deddy Mizwar.
“Saya menolak permintaan untuk menyarungkan pakaian itu dan perkara itu sampai ke pengetahuan pengarah. Saya jawab kepada pengarah, saya ini orang Malaysia, beragama Islam dan kaum Melayu. Saya tidak akan menjual harga diri dengan memakai pakaian sebegitu demi lakonan.
“Disebabkan itu, pihak produksi terpaksa menyediakan pakaian lebih sopan sebagai syarat agar adegan itu diteruskan. Dan saya meletakkan had agar tidak keterlaluan dalam melakonkan babak tersebut,” ceritanya.
Kata Fauziah, isu wanita menjadi mangsa eksploitasi dalam dunia drama dan perfileman ini sebenarnya berbalik kepada diri sendiri. Kalau dibenarkan, maka berlakulah ia.
“Ia juga berbalik kepada soal maruah. Mana lebih mahal, harga diri atau tawaran lakonan yang kita terima itu? Harus ingat, akan ada kesinambungan kalau kita membuka ruang untuk diri kita dieksploitasi.
“Saya memang tegas, kalau saya kata tidak, maka tidaklah. Contoh isu pakaian dalam filem Indonesia itu, kalau saya akur, ia pasti jadi buah mulut orang selamanya,” kongsinya.
Fauziah juga memaklumkan sebelum ini pernah beberapa kali berbeza pandangan dengan penggiat seni yang dihormatinya.
“Ya, saya pernah berada dalam situasi itu, berbeza pandangan dengan figura yang amat saya hormati. Tak perlulah saya petik namanya.
“Tapi saya menolak pandangan figura itu dengan penuh hormat dan beradab, ajak beliau berbincang dalam keadaan positif.
“Akhirnya individu tersebut faham dan menerima. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai tidak beradab atau hilang hormat,” tegasnya.
DIAJAR SUPAYA ‘MEMBUMI’
“Jangan ingat diri itu sudah hebat lepas menang anugerah.” Teguran itu dilayangkan seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud selepas kemenangan anaknya, Fauziah merangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia 1986 menerusi filem Ali Setan.
Katanya, itu adalah cara orang tuanya mengingatkan agar dia tidak hanyut dengan pencapaian yang digenggam.
“Bila ada yang berkata kepada saya mengenai zaman kegemilangan, saya tidak merasai semua itu kerana ibu bapa saya sentiasa mendidik agar saya ‘membumi’.
“Contoh, bila saya berjumpa ibu saya untuk memaklumkan tentang kemenangan di FFM, arwah ucap tahniah tetapi selepas itu dia terus ingatkan saya masak asam pedas untuk esoknya.
“Ibu bapa saya tidak membenarkan saya bermegah-megah dengan kejayaan malah sentiasa menasihatkan agar mencari keberkatan dalam pekerjaan yang saya lakukan. Nasihat itu saya pegang sampai sekarang,” ceritanya.
Berkongsi mengenai fasa awal pembabitan dalam dunia lakonan, pelakon yang namanya turut meledak menerusi filem Azura itu memaklumkan dahulu dia tidak pernah berniat untuk mengikut jejak langkah orang tuanya dalam bidang tersebut.
“Yang paling menentang saya masuk dunia lakonan ialah arwah ayah, dia langsung tidak menyokong. Saya faham kenapa. Arwah sudah masak dengan sepak terajang dunia seni jadi beliau tidak mahu saya kecewa.
“Kalau boleh dia mahu saya menjadi seorang guru seperti arwah datuk saya yang mengajar di Penang Free School.
“Malah pembabitan saya dalam filem pertama iaitu Hati Batu sebagai pelakon kanak-kanak juga adalah bidan terjun untuk melunaskan permintaan sutradara Allahyarham M. Amin yang merupakan rakan baik ayah saya.
“Masa itu saya masih terlalu muda untuk memahami tentang industri seni. Dan bagi saya lakonan itu membebankan dan meletihkan kerana pada masa sama saya juga harus membahagikan masa untuk pelajaran. Boleh katakan waktu itu saya dalam fasa kekeliruan.
“Sehinggalah ketika saya didatangi Profesor Dr. Asiah Sarji yang menasihatkan saya meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas memenangi anugerah Pelakon Harapan Festival Filem Asia Pasifik. Dari saat itulah saya memilih untuk terus menjadi pelakon,” jelasnya.
RAGAM PEMINAT
Fauziah mencuri perhatian selepas kejayaan filem Azura pada 1984. Aktres ini mengakui mengalami kejutan budaya apabila kehadirannya dalam dunia seni mula mendapat perhatian masyarakat.
“Saya cukup khuatir apabila peminat itu taksub dengan artis kegemaran mereka kerana saya juga pernah mengalami pengalaman itu, diekori peminat, mendengar cerita peminat menangis di lobi hotel kerana tidak berpeluang berjumpa saya dan sebagainya.
“Tetapi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah apabila seorang peminat fanatik ini sanggup datang setiap hari ke pejabat saya di Taman Permata, Ulu Klang demi meluahkan hasratnya untuk menjadikan saya isterinya.
“Saya minta arwah ayah saya untuk campur tangan kerana keadaan waktu itu agak tidak terkawal. Ayah mengajak lelaki itu datang ke rumah dan dengan cara baik menolak permintaannya.
“Tahap ketaksuban seperti itu mendatangkan kekhuatiran kepada saya kerana ia tidak sihat. Kalau setakat minat terhadap fesyen atau bakat artis itu tidak menjadi masalah,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon yang dilahirkan di Singapura ini juga tidak menafikan dirinya pernah dianggap mendapat laluan mudah untuk menjadi pelakon kerana status orang tuanya yang merupakan nama besar dalam dunia perfileman tanah air.
“Memang ada pihak yang beranggapan begitu, mengatakan saya ini dapat watak utama kerana mak ayah saya. Mereka buat telahan tanpa mengetahui cerita sebenar.
“Hakikatnya, walaupun saya ini anak kepada Datuk Ahmad Daud dan Seniwati Saadiah, tidak bermakna saya masuk industri seni secara mudah. Banyak cabaran dan kesukaran yang saya lalui. Mungkin tiba masanya untuk saya ceritakannya menerusi sebuah buku,” selorohnya.