KEPALA BATAS : Warga emas yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak perempuan istimewa atau orang kurang upaya (OKU) di Penaga di sini, semalam akhirnya berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, terdahulu, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu, kanak-kanak terbabit bersama ibunya baru sahaja tiba di bengkel kenderaan milik bapa kepada kanak-kanak tersebut dengan menaiki sebuah kereta untuk menghantar minyak hitam.
Anuar berkata, si ibu kemudian meninggalkan anaknya dalam kereta berkenaan tanpa mematikan enjin sebelum seorang suspek lelaki datang secara tiba-tiba dan terus melarikan kenderaan tersebut.
“Dia (wanita itu) kemudian dibantu oleh rakan suaminya untuk mencari kanak-kanak terbabit yang berusia 12 tahun di sekitar kawasan berhampiran, namun, tidak menjumpai apa-apa.
“Tidak berputus asa, mereka bagaimanapun berjaya mengesan kanak-kanak itu yang berada di Bagan Lalang, Butterworth dengan menggunakan satu aplikasi khas dalam telefon pintar milik wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU dengan dibantu oleh anggota Balai Polis Butterworth tidak lama selepas itu.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek yang berusia dalam lingkungan 60-an itu memiliki beberapa rekod kesalahan lampau termasuk tujuh kes jenayah dan 11 kes berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 363 Kanun Keseksaan,” katanya yang memberitahu, mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan lanjut.-UTUSAN