BUTTERWORTH : Seorang warga emas yang didakwa menculik seorang kanak-kanak dan melarikan sebuah kereta Jumaat lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jaafar Sidek Darus, 63, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang iaitu ibu kandung mangsa di tepi bengkel ZY Auto Service Jalan Penaga, Kepala Batas di sini kira-kira pukul 5.30 petang, 20 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana melarikan sebuah kereta jenis Toyota Corolla milik seorang lelaki di lokasi dan tarikh sama.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli.
Terdahulu, ketika prosiding, tertuduh dilihat berada dalam keadaan keliru dan membuat pengakuan bersalah sebelum menukar pengakuannya kepada tidak bersalah. Dia sekali lagi mengubah kenyataannya selepas itu dan memaklumkan tidak kisah andai dikenakan hukuman penjara atas kesalahan tersebut.
Aini Adilah seterusnya menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan mahkamah menilai sama ada tertuduh perlu dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian kesihatan mental atau sebaliknya.
Dalam kejadian Jumaat lalu, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun selepas kereta yang dinaikinya dilarikan suspek dari sebuah bengkel kenderaan di Jalan Penaga dekat sini.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan berada di dalam kereta terbabit dalam keadaan enjin yang masih hidup manakala ibunya pula keluar untuk menghantar minyak hitam kepada bapa mangsa di bengkel tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah.-UTUSAN