‘Vape tak bunuh, diabetes lagi bahaya’

‘Vape tak bunuh, diabetes lagi bahaya’

PENGUSAHA kedai vape terkilan dengan keputusan Kerajaan Negeri Pahang mengharamkan secara menyeluruh penggunaan rokok elektronik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pengusaha kedai vape terkilan dengan keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang me­nguatkuasakan larangan penggunaan rokok elektronik secara menyeluruh sambil menyifatkannya tindakan terburu-buru dan bercanggah dengan perundangan sedia ada.

Pengusaha yang hanya mahu dikenali sebagai Wai berkata, larangan tersebut bertentangan dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang digubal bagi mengawal selia penjualan produk tembakau dan vape dan bukan untuk mengharamkannya secara menyeluruh.

“Akta tersebut bertujuan kawalan, bukan pengharaman muktamad. Kalau begitu logik­nya, rokok seludup yang memang diharamkan pun masih berleluasa di pasaran. Dadah juga haram, tapi ramai boleh dapat dengan mudah. Jadi, lara­ngan menyeluruh bukanlah jalan terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Wai, tindakan mengejut tanpa perbincangan bersama pengusaha industri hanya memberi kesan ekonomi yang besar kepada pemain industri, khusus­nya usahawan kecil sepertinya.

“Kalau larangan ini berkuat kuasa serta-merta, kami berisiko gulung tikar. Banyak produk masih belum terjual, pekerja perlu dibayar gaji, sewa kedai berjalan seperti biasa. Ini melibatkan kerugian dua kali ganda,” katanya.

Seorang lagi pengusaha dikenali sebagai Khai, turut mempertikai alasan kesihatan yang sering dikaitkan dengan vape, dengan menegaskan bahawa sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan vape menjadi punca utama kematian di Malaysia.

Katanya, meskipun risiko penggunaan vape sedang dikaji dalam jangka masa panjang, ia dilihat kurang membahayakan berban­ding rokok tembakau konvensional berdasarkan bukti semasa.

“Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi merupakan antara penyumbang utama kepada kematian di negara ini. Itu yang sepatutnya lebih diberi perhatian oleh kerajaan.

“Kita tak kata vape selamat sepenuhnya, tapi kalau dibandingkan dengan NCD yang terbukti membunuh setiap tahun, rasanya ada isu yang lebih kritikal untuk ditangani,” katanya.

Sehubungan itu, Khai menyeru kerajaan negeri agar menilai semula keputusan tersebut dan menggunakan pendekatan kawalan seperti yang digariskan dalam Akta 852, berbanding pengharaman mutlak yang disifatkannya sebagai tidak realistik dan tidak adil kepada pengusaha industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN