KUALA KANGSAR: UMNO Bahagian Sembrong diminta mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan parti agar penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditamatkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu langkah itu dibuat terlebih dahulu, sebelum ulasan lanjut mengenai cadangan itu dapat diberikan.
“Buat cadangan itu dan bawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti. Saya akan beri komen,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Dialog@KPK Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di sini, semalam.
Baru-baru ini, UMNO Bahagian Sembrong sebulat suara membawa usul merayu hukuman penggantungan selama enam tahun ke atas Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Naib Presiden UMNO ditamatkan.
Hishammuddin digantung berkuat kuasa 27 Januari 2023 kerana melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, ini merupakan tahun kedua mereka membawa rayuan itu berdasarkan jasa dan keunggulan pentadbiran Hishammuddin yang setia membangunkan kawasan itu lebih dua dekad.
Katanya, Hishammuddin tidak pernah menzahirkan hasrat meninggalkan parti, malah diyakini mampu mengembalikan kegemilangan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN











