PONTIAN: UMNO bersedia menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu termasuk dalam bekas-bekas pemimpin tertinggi pentadbiran kerajaan yang telah bersara supaya mereka dapat meneruskan sumbangan kepada rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penyertaan individu tersebut tidak perlu dipersoal atau disangsikan kerana mereka berhak untuk membuat pilihan.
“Hari ini UMNO terbuka luas untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat menjadi ahli bagi menyumbangkan khidmat bakti mereka di tempat lahir masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Ilmu Falak anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyertaan bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai ahli UMNO.
Dzulkifli menyerahkan borang keahlian UMNO Cawangan Merbau Kudong, Sungai Dua, Pulau Pinang dalam satu majlis semalam.
Dalam pada itu, tambah Ahmad, Dzulkifli berhak untuk membuat pilihan menyertai UMNO setelah meninggalkan perkhidmatan awam malah sebagai pemimpin tertinggi kerajaan.
“Kami ucapkan terima kasih kepada beliau ( Dzulkifli ) dan alu-alukan dengan hati terbuka. Ramai yang telah menyertai UMNO secara senyap dan kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada parti ini,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Pontian. – UTUSAN










