JOHOR BAHRU: UMNO perlu bangkit semula selepas ditolak rakyat khususnya masyarakat Melayu sendiri selepas pelbagai cemuhan, tohmahan dan fitnah yang diterima sejak beberapa tahun lalu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, UMNO juga masih mempunyai peranan besar dalam membela kesejahteraan dan kebajikan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Rebah, diuji, difitnah, bahkan pernah hampir ditolak sejarah. Namun, UMNO bangkit semula bukan kerana nama tetapi amanah perjuangan ini terlalu besar untuk kita abaikan.
“UMNO bukan milik satu generasi, ia milik seluruh rakyat Johor dan rakyat Malaysia yang impikan masa depan lebih baik. Maka tanggungjawab kita kini bukan sekadar mempertahan legasi tetapi membina semula keyakinan dan menyemarakkan semangat kebangkitan,” katanya di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, UMNO Johor khususnya mempunyai peranan sebagai ‘tiang seri’ kepada UMNO sekaligus kepada kestabilan negara sekali gus mempunyai peranan besar dalam membela rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Beliau justeru itu berharap Persidangan UMNO Bahagian 2025 terutama di Johor mampu menjadi medan penyusunan strategi bagi memperkukuh gerak kerja dan semangat baharu.
“Gunakan medan ini untuk merapat saf, menyusun kekuatan dan memperkuatkan keyakinan rakyat bahawa UMNO masih utuh sebagai pelindung masa depan mereka,” jelasnya lanjut.
Menteri Besar Johor itu turut mengucapkan tahniah apabila 2,197 cawangan UMNO negeri ini telah berjaya menamatkan persidangan dengan cemerlang yang dilihat bukan sekadar angka, tetapi bukti bukti akar umbi UMNO Johor masih utuh dan setia.
“Saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh perwakilan, kepimpinan dan jentera UMNO Johor yang terus berkhidmat tanpa mengenal jemu. Kalianlah tulang belakang dan nadi parti keramat ini. Tanpa kekuatan dan keikhlasan kalian, UMNO Johor tidak akan berdiri seteguh hari ini,” katanya. – UTUSAN










