PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memerlukan transformasi segera untuk memastikannya kekal relevan dan berdaya saing.
Naib Canselor (NC) baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sufian Jusoh, berkata, UKM perlu menghadapi realiti cabaran-cabaran yang dihadapi dengan pendekatan yang komprehensif.
Kata beliau, tiga cabaran utama yang dihadapi UKM adalah kebolehpasaran graduan, kelestarian kewangan dan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan negara.
“Oleh itu, UKM perlu mempunyai sistem tatakelola yang mantap, berintegriti tinggi, terbuka dalam berkongsi pandangan setiap warga universiti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menggariskan lima keutamaan untuk UKM bagi menangani cabaran berkenaan.
Pertama, lebih inovatif dalam menerapkan pengajaran, penyelidikan serta inovasi dalam pelbagai disiplin, di mana sains merangkumi sains semula jadi, subjek teknikal dan sains sosial.
Kedua, warga UKM bekerjasama rapat antara satu sama lain, melalui hubungan teknologi dan kepakaran yang lebih rapat.
Ketiga, berkolaborasi rapat dengan industri untuk menentukan keperluan pengajaran dan latihan serta membiayai penyelidikan.
Keempat, melaksanakan Indikator Prestasi Utama yang fleksibel dan pelbagai yang memenuhi keperluan jabatan masing-masing, di mana pengumpulan dana dan bilangan pelajar tidak semestinya menjadi indikator utama.
“Kelima, UKM mengadakan institut penyelidikan rentas disiplin dalam sains dan teknologi serta sains sosial sebagai jalan ke depan dalam penyelidikan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau komited untuk memacu universiti tersebut sebagai satu institusi yang berteraskan identiti nasional dan menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional serta diiktiraf oleh masyarakat global.
Katanya, hal itu selari dengan semangat perjuangan penubuhan UKM pada 1970 yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Saya ingin menyeru kepada semua warga UKM untuk bersama-sama bersatu padu untuk menyumbang kepada UKM yang ditubuhkan dengan cita-cita dan impian rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut berhasrat untuk membawa UKM kembali fokus kepada bidang ilmu sains dan teknologi seperti yang digariskan oleh Perintah (Perbadanan) UKM 1971.
“Perintah itu menyebut fokus UKM adalah kepada ilmu, penyelidikan, pengumpulan dan kemajuan pengetahuan dan penyebaran pengetahuan, dalam bidang sains dan teknologi.
“Justeru, UKM akan diangkat sebagai sebuah universiti penyelidikan tersohor di dunia, dengan fokus kepada rantau ASEAN yang bahasanya bertunjangkan Bahasa Melayu,” katanya. – UTUSAN