KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BlackBerry Technology Malaysia Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan bakat dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pemeteraian MoU itu merupakan salah satu dasar penting di rangka kementerian pendidikan tinggi.
“BlackBerry berasal dari Kanada, dalam usaha UKM untuk mengadakan kerjasama kolaboratif dalam bentuk kajian khususnya dalam bidang keselamatan dan juga bidang lain.
“Dengan adanya kerjasama dan menjadikan UKM sebagai pusatnya, ia akan memberi impak yang besar kerana kita dapat membawa sebuah industri terkenal.
“BlackBerry adalah sebuah jenama besar dan jika mereka berada di kampus, mereka dapat membangunkan kaji selidik dan hasil penelitian mereka nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Blackberry Technology Malaysia Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak bakal memberi manfaat yang besar kepada para pengkaji dan pensyarah termasuk di BlackBerry.
UKM dan BlackBerry akan bekerjasama untuk membangunkan kurikulum dan latihan yang sejajar dengan keperluan industri sebenar dan memperkukuh keupayaan akademik dan penyelidikan dalam sistem terbenam, komunikasi selamat dan keselamatan siber.
Memorandum itu turut menggalakkan pertumbuhan profesional dan kepimpinan teknologi dalam kalangan pelajar dan pensyarah serta menyampaikan latihan siber beretika dan sokongan kepada belia kurang berkemampuan.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antrabangsa Kanada, Maninder Sidhu dalam ucapannya berkata, memorandum itu merupakan manifestasi dan komitmen bersama Kanada dan Malaysia terhadap inovasi, pendidikan dan kemajuan.
“Kerjasama ini menangani kekurangan bakat dalam bidang keselamatan siber dan perisian terbenam (embedded software) termasuk teknologi yang digunakan dalam kereta, peranti perubatan, automasi industri, dan jam pintar.
“Ia juga membina rangkaian bakat tempatan yang mampan selaras dengan keperluan industri serta memperkukuh infrastruktur digital Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John Giamatteo pula berkata, kerjasama bersama UKM direka khas untuk membangunkan serta menyokong barisan pelindung siber dan pembangunan perisian terbenam masa hadapan.
“Melalui Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber MCMC-BlackBerry di Cyberjaya, kolaborasi ini akan memberikan pelajar UKM latihan secara langsung yang berasaskan pembelajaran praktikal dan inovasi.
“Program ini turut menawarkan latihan industri, geran penyelidikan, dan pensijilan bertaraf global.
“Bersama UKM, kami membangunkan kurikulum lanjutan bagi memperkukuh program sedia ada universiti serta memastikan pelajar memperoleh pengalaman sebenar dalam mempertahankan dan menguji sistem keselamatan,” katanya.
Katanya, inisiatif ini akan mempercepat pembangunan bakat siber terulung Malaysia dan menyediakan perisikan ancaman (threat intelligence) yang diperlukan oleh kerajaan serta industri dalam menghadapi gelombang ancaman digital.
“Dengan melabur dalam pendidikan, penyelidikan dan pengalaman praktikal, kami berbangga dapat membantu Malaysia membina barisan pemimpin masa depan yang bersedia mempertahankan negara daripada ancaman kompleks masa kini serta ancaman baharu yang bakal muncul,” katanya. – UTUSAN










