KUANTAN: Masyarakat khususnya di luar bandar masih menganggap tandas hanya digunakan untuk membuang najis dan tidak perlu terlalu bersih kerana ia sememangnya ‘kotor’.
Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Dr. Hasan Ahmad berkata, ia fahaman yang silap dan bertentangan dengan prinsip kebersihan dalam Islam kerana Rasulullah SAW sendiri mengajar kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
“Masalah ini tidak hanya berkaitan sikap pengguna semata-mata, tetapi sistem penyelenggaraan yang lemah. Banyak fasiliti awam tidak mempunyai sistem pembersihan berkala, kekurangan pekerja kebersihan dan kekurangan bahan asas seperti sabun, tisu dan air bersih.
“Ketiadaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan juga menjadikan keadaan lebih teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Semalam, muka depan akhbar ini melaporkan, kira-kira 80 peratus tandas di premis makanan dan stesen minyak di seluruh negara didapati kotor, berbau dan tidak diselenggara dengan baik untuk kegunaan pelanggan.
Hasan berkata, keadaan tandas awam yang kotor, berbau dan tidak terurus masih menjadi kelaziman di banyak tempat seperti stesen bas, masjid, surau, stadium, dewan orang ramai serta pusat-pusat komuniti.
Katanya, hal ini mencerminkan satu bentuk kegagalan dalam aspek budaya sivik dan mentaliti masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan tempat awam.
“Sebagai sebuah negara Islam yang menitikberatkan kebersihan adalah sebahagian daripada iman, amat mendukacitakan apabila terdapat tandas awam di kawasan masjid dan surau yang begitu menjijikkan, lantai basah, najis tidak disiram, kertas tisu bertaburan dan bau hancing yang meloyakan.
“Ia bukan sahaja tidak mencerminkan nilai-nilai Islam yang murni, malah membuka ruang kepada pelbagai jangkitan penyakit seperti cirit-birit, jangkitan saluran kencing dan penyebaran bakteria berbahaya seperti Escherichia coli (E. coli), Salmonella dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak membabitkan pengguna, pengurus fasiliti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan agama memainkan peranan yang lebih aktif serta bertanggungjawab.
“Beberapa langkah perlu diambil antaranya pendidikan sivik dan kesedaran awam. Kempen kesedaran harus dilakukan secara menyeluruh, bukan sahaja di sekolah tetapi juga melalui khutbah Jumaat, ceramah komuniti dan platform media sosial. Mentaliti ‘asal boleh’ perlu diganti dengan rasa tanggungjawab terhadap tandas.
“Kedua berhubung etika penggunaan tandas awam. Masyarakat perlu dididik tentang etika asas penggunaan tandas seperti membilas selepas digunakan, tidak membuang tisu atau sampah ke dalam mangkuk tandas, serta tidak membasahkan lantai dengan berlebihan. Perlu diwujudkan poster-poster pendidikan yang ringkas dan mudah difahami di setiap fasiliti awam,” ujarnya. – UTUSAN











