KOTA BHARU: Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah menyatakan mahu melepaskan jawatan Presiden Pas dalam pemukiman yang diadakan oleh kepemimpinan parti itu baru-baru ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau ada dalam sesi tersebut dan tidak mendengar kenyataan Abdul Hadi mengenai melepaskan jawatan Presiden.
“Tidak. Yang dikatakan kononnya Tok Guru (Abdul Hadi) ada sebut dalam retreat itu, saya hadir. Sepatah pun Tok Guru tak ada sebut. Itu semua spekulasi semata-mata dan bagi kita, Tok Guru masih diperlukan. Kalau sebab orang kata beliau uzur, pemimpin ini yang diperlukan adalah pemikiran dan akalnya.
“Tok Guru ini, dunia Islam memerlukannya. Bagi saya Tok Guru perlu kekal dan dikekalkan. Kita rasa seluruh ahli Pas turut bersetuju Tok Guru perlu kekal,” katanya ketika ditemui pemberita kepada selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini semalam
Pada 6 Jun lalu, media melaporkan Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan Presiden Pas atas faktor kesihatan dalam satu pemukiman di Terengganu, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyarankan supaya Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Zulhazmin Hassan agar tidak campur tangan dalam urusan Pas, sebaliknya menumpukan komentar-komentar beliau terhadap partinya sendiri.
“Sejak bila dia (Mohd. Zulhazmin) jadi ahli Pas? Komen pasal parti dia sudahlah. Apa hak dia nak beri cadangan kepada parti lain? Dalam soal Pas, soal kepemimpinan ini tidak ada masalah sejak dari dahulu lagi. Bahkan tradisi dalam Pas, jawatan bukan sesuatu yang mahu direbut.
“Dalam Pas juga tidak ada budaya kempen-kempen dan siapa kempen dia kalah. Kita serah kepada ahli serta perwakilan kerana mereka berhak menentukan calon. Pas juga terbuka mempertanding semua jawatan dan Insya-Allah, kita akan kekal tenang dalam pemilihan.
“Saya sendiri terbuka untuk jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan. Tidak ada sebarang jawatan dalam parti ini yang tidak terbuka untuk dipertandingkan. Semua terbuka untuk pencalonan dan dipilih,” ujarnya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengadakan perbincangan awal sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung pada September atau Oktober ini.-UTUSAN











