IPOH: Tiga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang cedera dalam kemalangan meragut nyawa 15 rakan seuniversiti di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik Isnin lalu, masih dirawat di hospital.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Lili Suzana Mat Ya’acob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala Nur Liyana Zainudin, 23, pula menerima rawatan di Hospital Taiping.
“Selain daripada tiga pelajar tersebut, terdapat tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera dalam nahas itu.
“Ketiga-tiga mereka yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza kini dirawat di Hospital Baling, Kedah.
“Kemaskini setakat pukul 9 pagi tadi, keenam-enam mangsa dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Noor Hisam, seramai 15 individu termasuk dua pemandu bas dimasukkan ke empat buah hospital bagi mendapat rawatan atas pelbagai kecederaan sejak 9 Jun lalu.
“Mangsa yang cedera dihantar ke HRPB di Ipoh, Hospital Taiping, Hospital Gerik dan Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti hari raya Aidiladha. – UTUSAN