KOTA BHARU: Pas menafikan terdapat usaha untuk memberi kuasa lebih besar kepada Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui penstrukturan semula Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, malah tidak timbul isu penstrukturan semula PN berikutan ia sememangnya sudah menjadi sebuah gabungan parti politik yang stabil.
“Tak timbul (isu penstrukturan semula PN). Nak struktur apa lagi, sudah ada struktur yang jelas,” katanya da;a, sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke-58, di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, PN merupakan sebuah pergabungan parti-parti politik yang berdaftar dan mempunyai perlembangaan sendiri.
Menurutnya, di dalam Perlembagaannya, PN telah disebut perlu ada seorang pengerusi yang mana sejak awal sehingga kini dijawat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jadi di situlah. Tak pernah dipersoalkan pun. Presiden parti-parti komponen lain pula menjadi timbalan pengerusi. Macam Pas, Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) jadi timbalan presiden (PN), begitu juga presiden Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia).
“Bersatu pula, oleh kerana presidennya menjadi Pengerusi PN, maka timbalan presidennya mengisi kuota timbalan pengerusi PN bagi parti itu. Memang kita tertakluk kepada Perlembagaan Parti PN dan tidak boleh sewenang-wenangnya nak ubah,” katanya. – UTUSAN










