Tiada rayuan dari Hishammuddin, Zahid serah pada MKT

Tiada rayuan dari Hishammuddin, Zahid serah pada MKT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kuasa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan berhubung usul UMNO Bahagian Sembrong yang diluluskan mengenai penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, meskipun tiada sebarang permohonan rayuan yang diterima sehingga hari ini, namun MKT masih boleh membuat keputusan tersebut jika usul tersebut dibawa ke dalam majlis berkenaan selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO.

“Oleh kerana tiada satu pun surat rayuan dari pada pemohon berkenaan, maka kita akan lihat apa yang dikemukakan Menteri Besar Johor untuk dibincangkan dalam Biro Politik nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pelarasan antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco Luar Bandar, di sini hari ini.

UMNO Sembrong sebelum ini dilapor meluluskan usul menggesa kepemimpinan parti agar menerima semula Hishammuddin, bekas ketua bahagiannya.

Ketua UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merasmikan mesyuarat bahagian Sembrong pada hujung minggu lepas, berjanji akan membawa usul itu kepada pucuk pimpinan parti.

UMNO menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun pada Januari 2023. Media memetik surat penggantungan itu melaporkan beliau digantung kerana melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti, tanpa butiran lanjut.

Ahli Parlimen Sembrong itu sebelum ini berkata, beliau enggan merayu kerana tidak mengetahui sebab keahliannya digantung.

Ahmad Zahid turut menegaskan sebarang penggantungan atau pemecatan yang dibuat adalah munasabah pada keadaan dan ketika itu.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, beliau memberi beberapa contoh mengenai penggantungan atau pemecatan yang dibuat.

Antaranya, menghasut 10 wakil rakyat Barisan Nasional supaya mengalihkan sokongan; menghasut 22 ketua bahagian di Sabah keluar UMNO dan membubarkan parti itu serta menyingkirkan beliau sebagai pengerusi BN sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk.

“Adakah orang yang meracuni fikiran itu yang menyebabkan UMNO di Sabah tersungkur begitu, maka tindakan tidak boleh dilakukan?

“Adakah orang yang membawa 10 daripada 30 ahli Parlimen untuk tidak menyokong kerajaan yang ada sekarang ini pembentukannya sedangkan mereka telah menandatangani aku janji ataupun SD, orang itu telah tidak mengikut keputusan parti, maka tidak boleh diambil tindakan?” soalnya.

“Saya Presiden UMNO yang menjadi Pengerusi Barisan Nasional. Sebelum pembentukan kerajaan ini supaya saya dipecat sebagai Pengerusi BN, maka orang itu tidak boleh diambil tindakan?

“Saya tidak merujukkan perkara ini kepada nama sesiapa, tetapi tiga kes itu adalah sangat munasabah untuk seseorang itu digantung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN