“KES salah laku seksual yang melibatkan dua agamawan hasil rancangan realiti televisyen bercorak agama seharusnya menjadi muhasabah besar kepada semua pihak tentang pentingnya populariti dan kemasyhuran diurus dengan baik”
Kenyataan di atas ialah keluhan teman penulis yang juga lulusan lepasan agama yang sudah berusia. Isu ini perlu diambil perhatian kerana persepsi boleh memberi kesan kepada integriti orang agama.
Pernah satu malam Rasulullah SAW keluar dari masjid menghantar isterinya Safiyyah binti Huyayy pulang ke rumah. Di tengah jalan, baginda terserempak dua lelaki Ansar.
Melihat sosok baginda dalam remang malam berjalan dengan seorang wanita, mereka berdua segera mengubah laluan. Nabi segera menjelaskan wanita yang bersama baginda itu ialah isterinya.
Mengapa? Persepsi buruk boleh muncul jika tiada penjelasan, Nabi bersabda:
“(Hati-hati dengan sangkaan kalian) kerana syaitan mampu bergerak dalam tubuh manusia melalui pembuluh darah. Aku risau dia (syaitan) mencampakkan sangkaan buruk pada kamu berdua (Sahih al-Bukhari, 2035).
Kemasyhuran seumpama pisau berbilah dua, boleh diguna untuk kebaikan dan keburukan. Ia memerlukan kematangan si pemakai agar tidak salah menggunakannya ke arah keburukan.
Kematangan pula berkait rapat dengan pengalaman yang ditimba melalui proses pembelajaran yang lama. Ini sebabnya Imam al-Syafie dalam nasihatnya menyatakan cara menuntut ilmu ada enam, dengan satu daripadanya ialah tempoh belajar yang lama:
(Duhai saudara ada enam) cara mencapai ilmu; kecerdasan minda, keinginan menuntut ilmu, kesungguhan, kecukupan (masa dan kewangan), berdamping dengan guru dan masa yang panjang.
Individu yang diuji dengan kemasyhuran pada usia muda perlu menjaga hati nurani dan niat mereka berdamping dengan agama. Ingat amaran Rasulullah ini:
“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk berbangga-bangga (dengan debat) di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang bodoh, atau untuk mendapat perhatian (pujian) manusia kepadanya, Allah akan masukkannya ke neraka (Sunan al-Tirmidhi, 2654).
Mereka perlu sentiasa merendah diri kerana lembah yang rendah akan mudah mendapat siraman air rahmat berbanding puncak gunung.
Dampingkan diri dengan para ilmuwan serta murshid yang lebih berusia. Hal ini kerana ketika orang muda bercakap akan sedapnya rasa manis dan masin, orang berusia sudah tahu keduanya bersalut bahaya pelbagai penyakit.
Pastinya, nilaian orang berusia lebih tepat berbanding orang muda. Ini sebabnya Allah mengutus para rasul selepas mereka mencapai usia matang (Yusuf 12:22 & al-Qasas 28:14).
Usahkan anak muda yang bergraduasi dalam rancangan televisyen atau mana-mana universiti, Nabi Musa AS yang jauh lebih tinggi darjatnya pun masih mengharap bimbingan orang berilmu yang lain seperti Khadir. Masih merendah diri turun belajar, firman Allah:
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (al-Kahfi 18:66).
Terkenal bukan lesen untuk hanyut. Mabuk kemasyhuran dan tenggelam di dalamnya boleh meragut sama ada jiwa, atau masa depan karier anda.
Contohi sikap ‘selebriti langit’ yang Rasulullah sendiri sahkan identitinya iaitu ‘Uways bin ‘Amir. Baginda berpesan kepada sahabat utama ‘Umar bin al-Khattab agar meminta doa dari ‘Uways jika sempat bertemunya.
‘Umar memang bertemu dengan ‘Uways. Usai pertemuan mereka, ‘Uways mahu ke Kufah. ‘Umar menawarkan untuk mengirim surat kepada pemerintah Kufah agar ‘Uways diberi layanan istimewa.
Apa jawapan ‘Uways? Ini katanya:
(Tak perlu Wahai ‘Umar!) Aku lebih suka berada bersama orang bawahan (yang lemah lagi tidak dikenali manusia) (Sahih Muslim, 2542).
Selain itu, hadis ini juga perlu dihadam orang yang diuji dengan kemasyhuran:
Sesungguhnya Allah suka hamba bertaqwa yang kaya (jiwa) lagi suka menyembunyikan diri (tidak suka menonjolkan diri menarik perhatian orang, tidak suka mengejar jawatan, tidak suka menunjuk kekayaan serta suka menyendiri beribadat kepada Allah) (Sahih Muslim, 5266).
Masyarakat awam yang mungkin terkesima melihat kemasyhuran sesetengah pihak perlu lebih selektif.
Kualiti ilmu tidak diukur melalui kemasyhuran, sebaliknya melalui isi dan nilai yang disampaikan. Sikap segelintir anggota masyarakat yang ‘memanjakan’ agamawan terkenal dengan kadar bayaran serta layanan istimewa wajar ditegur, malah dihentikan.
Utamakan kualiti isi penyampaian agamawan berbanding kemasyhurannya. Namun, tidak semua kemasyhuran itu tercela; ada ketika Allah mentakdirkannya kerana hikmah serta manfaat yang besar demi kebaikan seluruh umat Islam.
Lihat sahaja kemasyhuran yang dimiliki para ulama’ Islam sepanjang zaman seperti Imam al-Syafie dan Imam al-Bukhari. Kemasyhuran legasi mereka memberi manfaat besar kepada umat Islam.
Pengajarannya, jika anda dianugerahi kemasyhuran, pastikan ia memberi manfaat besar kepada ummah dan bukan sekadar batu loncatan untuk mengumpul habuan dunia.
Jika masih mahu kemasyhuran, berdoalah, Ya Allah! Jika kemasyhuran itu baik untuk agamaMu dan untuk akhiratku, maka berikan ia padaku. Jika tidak, jauhkan kemasyhuran itu daripadaku sejauh mungkin, sejauh langit dan bumi.
Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










