PETALING JAYA: “Persahabatan kami menjadi lebih erat.”
Demikian kata Kamal Haasan apabila disatukan semula dengan pengarah Mani Ratnam selepas 38 tahun lalu menerusi filem Thug Life.
Parthasarathy Srinivasan atau lebih dikenali sebagai Kamal Haasan, 70, berkata, hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama tidak pernah luntur, malah menjadikan ia lebih erat.
“Persahabatan kami menjadi lebih erat. Orang selalu cakap apabila menjadi keluarga, persahabatan mungkin pudar.
“Tetapi, bagi kami, walaupun selepas menjadi saudara mara, hubungan kami tidak berubah.
Aktor berpengaruh berusia 70 tahun itu turut menyifatkan kerjasama terbaharu mereka dalam filem berkenaan membuktikan kematangan masing-masing dalam industri.
“Saya bukan lagi pelakon sama. Beliau juga bukan lagi pengarah sama. Mani sudah berkembang dan terus meningkatkan kualiti karya dan anda akan lihat ini dengan jelas apabila menonton filem Thug Life.
“Saya peminat filem dan jadi penerbit kerana ingin menghasilkan filem yang saya suka. Thug Life mencerminkan semangat itu,” katanya.
Sementara itu, Thug Life menyatukan semula tiga figura ikonik yang yang mengubah wajah sinema India iaitu Kamal, Mani dan AR Rahman.
Thug Life mengangkat kisah ketua geng, Sakthivel, mengambil Amaran sebagai anak angkat selepas menyelamatkannya semasa peperangan antara geng.
Beberapa tahun kemudian, Sakthivel terselamat daripada cubaan pembunuhan dan mengesyaki penglibatan Amaran, menyebabkan konflik kesetiaan dan dendam.
Sebagai info, Kamal Haasan sebagai legenda dan pemikir sinematik, selain merupakan pengasas Raaj Kamal Films International dengan pengalaman lebih enam dekad dalam dunia perfileman.
Mani Ratnam pula dikenali menerusi sentuhan penceritaan yang berani dan berseni, menjadikannya antara pengarah paling berpengaruh di India.
A.R. Rahman diangkat sebagai komposer ulung yang mampu mencipta emosi melalui muzik, selain meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk dua trofi Anugerah Akademi (Oscar).










