'Terima kasih Tom Cruise'

‘Terima kasih Tom Cruise’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Bintang jelita Hollywood, Ana meluahkan rasa terharu dengan sokongan pelakon legenda, Tom Cruise terhadap filem aksi terbaharunya, Ballerina yang ditayangkan di Teater TLC Chinese, Hollywood pada malam Selasa lalu.

Ana atau nama lengkapnya Ana de Armas ,36, yang tampil memukau dalam filem tersebut mendapat sokongan terbuka daripada Cruise terhadap filem berkenaan.

“Rasanya macam tak percaya bila dapat tahu Tom Cruise benar-benar menyokong filem ini secara terbuka. Ia sangat bermakna,” ujar Ana sambil tersenyum.

Tambahnya, sokongan Cruise terhadap dunia perfileman bukanlah sesuatu yang baharu dan bukan hanya terhad kepada francais John Wick dan filem itu sahaja.

“Dia memang sentiasa menyokong industri perfileman. Dia mahu pawagam terus hidup dan orang ramai kembali ke panggung.

“Kami sedang bekerjasama dan dia sudah tonton Ballerina. Dia sukakannya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia juga menyifatkan sokongan itu sebagai pembakar semangat buat semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem berkenaan.

“Ia sesuatu yang sangat istimewa bila rakan pelakon saling menyokong antara satu sama lain. Kita semua akan lebih maju jika bersatu hati,” ujarnya.

Sementara itu, Cruise yang kini giat mempromosi filem Mission: Impossible – The Final Reckoning turut memuji semangat serta dedikasi Ana, Keanu Reeves dan seluruh pasukan produksi francais John Wick.

“Saya sukakan francais John Wick. Saya tahu betapa sukarnya menghasilkan cerita-cerita seperti ini.

“Kini mereka tampil dengan Ballerina bersama Ana. Ia memang luar biasa,” katanya.

Dua bintang Hollywood itu sebelum ini dikhabarkan menjalin hubungan lebih daripada sekadar rakan pelakon namun kedua-duanya enggan mengulas lanjur walaupun sering dilihat meluangkan masa bersama.

Filem Ballerina merupakan ‘spin-off’ kepada siri filem John Wick, dan jalan ceritanya berlangsung antara filem ketiga dan keempat dalam francais berkenaan.

Dalam filem ini, Ana membawakan watak sebagai pembunuh upahan yang dilatih mengikut tradisi organisasi Ruska Roma, dan nekad menuntut bela selepas kematian bapanya,

Ballerina bakal menemui penonton di pawagam seluruh dunia bermula 6 Jun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN