KOTA BHARU: Saksi terawal yang berada di lokasi kejadian nahas meragut 15 nyawa di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, semalam, tergamam melihat mayat bergelimpangan di tepi jalan selepas kemalangan tersebut.
Malah dakwanya ada mayat berada dalam keadaan tidak sempurna akibat kemalangan tersebut yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu.
Seorang suri rumah, Noor Idayu Mad Rosip, 38, berkata, dia bersama keluarganya dalam perjalanan dari Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, dekat sini untuk pulang ke Pulau Pinang.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah bas terbalik dan sebuah kenderaan Perodua Alza berada di dalam longkang.
“Kemalangan itu baru sahaja berlaku dalam tempoh beberapa minit yang lalu dan kami sekeluarga merupakan antara pengguna jalan raya terawal berada di lokasi kejadian.
“Saya tergamam melihat mayat bergelimpangan di kiri dan kanan jalan raya berhampiran sebuah bas yang sudah berada dalam keadaan terbalik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Noor Idayu berkata, dia juga melihat penumpang bas yang masih bernyawa merangkak keluar daripada kenderaan tersebut dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, dia mendengar tangisan dan teriakan penumpang bas yang terselamat semasa mereka duduk di tepi kenderaan itu.
“Melihat keadaan ini, saya menghubungi talian kecemasan untuk menyalurkan maklumat.
“Jalan raya di lokasi kejadian ketika itu sangat sesak dan ada pengguna jalan raya yang berhenti untuk menghulurkan bantuan. Semasa saya bergerak ke arah Gerik, kenderaan kami sekeluarga berselisih dengan ambulans, bomba dan polis yang sedang dalam perjalananan ke lokasi kejadian,” ujarnya.
Ketua Balai Bomba Gerik, Mohd. Azizan Abd. Aziz berkata, anggotanya yang tiba lebih awal mendapati sebahagian mangsa terselamat telah duduk di luar hadapan bas yang telah terbalik sambil menantikan ambulans.
Katanya, dalam kejadian itu pasukannya perlu mengeluarkan enam lagi mangsa yang masih berada di dalam bas dengan dua daripada mereka masih bernyawa.
“Ada mayat yang berada di dalam longkang dan atas rail (besi penghadang jalan). Sepanjang perkhidmatan saya di sini, ini kemalangan melibatkan paling ramai mangsa, 48 orang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Jelas Azizan, pihaknya terpaksa membuka bumbung bas untuk mengeluarkan beberapa mangsa yang masih berada di dalam kenderaan tersebut. – UTUSAN










