GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peningkatan mendadak jumlah kemalangan membabitkan kenderaan berat, khususnya bas ekspres yang telah banyak meragut nyawa.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan tragedi menyayat hati di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, Isnin lalu yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Mohideen berkata, insiden tragik itu membuktikan wujudnya satu keperluan mendesak untuk memperkenalkan langkah keselamatan yang lebih tegas serta menyeluruh oleh pihak berkuasa.
“CAP mahu satu pasukan khas atau RCI ditubuhkan bagi menyiasat peningkatan jumlah kemalangan yang melibatkan kenderaan berat ketika ini.
“Selain itu, kami juga menggesa pihak berkuasa untuk mengharamkan perjalanan bas ekspres pada lewat malam dan komited dalam melaksanakan langkah-langkah keselamatan ketat yang telah dicadangkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohideen berkata, amalan perjalanan bas ekspres pada waktu malam khususnya antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi sebenarnya meningkatkan risiko keletihan kepada pemandu serta risiko berlakunya kejadian ‘microsleep’ yang boleh membawa padah.
“Tertidur ketika memandu boleh membawa kepada akibat yang tragik dan bagi melawan keletihan ini, sesetengah pemandu mungkin mengambil bahan perangsang yang tidak dikawal selia bagi kekal berjaga. Ini seterusnya boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk membuat keputusan yang selamat ketika memandu.
“Lebih teruk, ada pemandu yang berfikiran untuk segera menamatkan perjalanan terakhir mereka, lalu memandu laju, memotong secara berbahaya dan mengabaikan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.
Ujar Mohideen, selain aspek mekanikal bas yang perlu diperiksa secara berkala, kesejahteraan mental pemandu juga perlu dinilai secara konsisten bagi memastikan keselamatan semua penumpang terjamin.
Dalam hal ini katanya, CAP mengalu-alukan cadangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung pemasangan kamera papan pemuka dalam kenderaan secara mandatori, pelaksanaan penyekat kelajuan (speed limiter) serta ‘sensor’ pada tali pinggang keledar yang hanya membenarkan bas bergerak jika semua penumpang telah memasangnya.
“Apapun, penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya ketika ini masih lemah, terutamanya melibatkan kenderaan berat dan bas ekspres. Justeru, kerajaan diharap agar tidak lagi menunggu sehingga berlakunya tragedi, baru hendak bertindak. Bertindak segera demi keselamatan rakyat,” katanya. – UTUSAN










