BESUT: Kegembiraan Muhammad Mustaqim Rosde, 21, semasa sambutan hari ulang tahun kelahiran abang sulungnya, menjadi saat sukar dilupakan selepas kematian pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu.
Abang sulungnya, Saiful Azri, 26, berkata, hari pertama kepulangan Allahyarham pada 6 Jun lalu adalah detik gembira buat keluarga yang sukar dipadamkan dalam ingatan.
Katanya, dia dan Muhammad Mustaqim yang paling akrab dengannya, sempat saling menyuap kek hari lahir selain berpelukan mesra.
“Bukan setakat detik gembira pada sambutan hari lahir saya tetapi kami saling melepaskan rindu di rumah kelahiran kami.
“Arwah adik yang merupakan anak keempat daripada lima beradik sangat disenangi keluarga dan rakan-rakan. Pemergiannya begitu dirasai semua pihak. Ia adalah suatu kehilangan besar buat kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di Masjid Hadhari, Jertih, di sini, semalam.
Terdahulu, barangan peribadi milik semua mangsa nahas berkenaan dibawa dengan lori khas dari Tanjung Malim, Perak dan diletakkan di ruang legar masjid itu sebelum diagihkan kepada keluarga masing-masing oleh sukarelawan UPSI.
Saiful Azri berkata, Muhammad Mustaqim baru sahaja menerima motosikal Yamaha LC135 yang dihadiahkannya pada April lalu.
“Motosikal itu saya beli ketika belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) dan saya hadiahkan kepadanya dengan harapan dapat digunakan dalam kampus UPSI.
“Saya fikir, kalau dia gunakan untuk tujuan yang baik, saya pun dapat pahala. Tetapi siapa sangka hanya dua bulan dia sempat guna dalam kampus UPSI,” katanya dalam nada sebak. – UTUSAN










