BESUT : “Hanya haruman baju kesayangan arwah menjadi pengubat rindu saya kepada anak,” kata ibu kepada Nur Dalila Farhana Mohamad Isma yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu.
Norinda Kasim, 49, berkata, blaus berwarna merah jambu itu diterima bersama barangan arwah Nur Dalila Farhana, semalam yang dihantar pulang dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Barang-barang arwah sampai kira-kira pukul 11 pagi di Masjid Hadhari, Jerteh. Pilu hati saya kerana sebelum ini semua barangan ini kami hantar bersamanya di awal kemasukan ke UPSI, namun barangan ini dihantar pulang tanpa pemiliknya.
“Bersama barang-barang ini, terdapat blaus berwarna merah jambu yang dibeli sedondon dengan saya sejak 10 tahun lalu. Baju ini kesayangan arwah yang sentiasa dibawa ke mana sahaja dia pergi,” katanya ketika ditemui di Kampung Bharu Tok Dor di sini, semalam.
Katanya, semua barangan peribadi anaknya itu dikemaskan oleh rakan sebiliknya sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan UPSI untuk dihantar pulang ke Jerteh, Terengganu.
Menurutnya, rasa sedih tidak dapat dibendung apabila rakan sebilik anaknya itu menghubunginya dan suami ketika proses pembungkusan barangan arwah dilakukan.
“Semua barang peninggalan arwah ini saya simpan sebagai kenangan. Ada pakaian arwah akan diberi dan digunakan oleh adik-adiknya,” katanya.
Norinda berkata, dia agak terkilan kerana beg pakaian Nur Dalila Farhana yang dibawa bersama ketika hari kejadian hilang dan tidak ditemukan sehingga kini. – UTUSAN










