Kontraktor syarikat mengaku bersalah kemuka dokumen palsu

Kontraktor syarikat mengaku bersalah kemuka dokumen palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi kerja pembaikan sistem untuk pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), lima tahun lalu. 

Tertuduh, Zulham Shah Mohammad, 44, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu surat setuju terima tanpa dokumen kontrak bertarikh 11 Mac 2020.

Ia bagi pembaikan Remote Control System dan Monitoring Control System (MCS) bertarikh 8 Julai 2020 di Kapal KM Sugut oleh Subturbo Sdn. Bhd yang  telah siap, diuji dan diterima namun sebenarnya kerja membaiki sistem itu belum siap dan dilaksanakan.

Atas kesalahan itu, Zulham Shah dituduh di bawah Seksyen 471 dan boleh dihukum bersama 465 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada pihak lain untuk melakukan tindakan sama. 

Peguam yang mewakili Zulham Shah, Aiman Abdul Rahman memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda berjumlah RM50,000. Hakim Mohd. Nasir kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM50,000 dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan.

Seorang lagi tertuduh, pegawai kanan Maritim Malaysia, Mohamad Izuar Zainudin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama dan minta mahkamah membicarakan kes itu.

Hakim Mohd. Nasir menetapkan sebutan semula kes pada 16 Julai ini. Mahkamah menetapkan jaminan kepada Mohamad Izuar sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN