Pentagon kurangkan briged tentera AS di Eropah

Pentagon kurangkan briged tentera AS di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan sudah mengurangkan jumlah briged tentera AS di Eropah daripada empat kepada tiga, sekali gus mengembalikan penempatan tentera ke tahap tahun 2021 ketika Washington terus menekan benua itu supaya meningkatkan tanggungjawab terhadap pertahanan sendiri.

Pentagon dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengurangkan jumlah keseluruhan Brigade Combat Teams (BCT) yang ditempatkan di Eropah daripada empat kepada tiga pasukan.

Menurut laporan Kongres AS, satu BCT terdiri daripada sekitar 4,000 hingga 4,700 anggota.

Kenyataan itu turut menyebut pengurangan berkenaan menyebabkan kelewatan sementara terhadap penempatan tentera AS ke Poland.

Pengumuman itu dibuat selepas Naib Presiden AS, JD Vance memaklumkan pada Selasa bahawa rancangan penempatan 4,000 anggota tentera ke Poland hanya ditangguhkan dan bukannya dibatalkan.

“Jabatan itu akan menentukan kedudukan akhir pasukan ini dan pasukan AS lain di Eropah berdasarkan analisis lanjut terhadap keperluan strategik dan operasi AS serta kemampuan sekutu kami untuk menyumbang kepada pertahanan Eropah,” menurut kenyataan Pentagon.

Pengurangan briged tempur itu dilihat sebagai kemuncak kepada beberapa minggu spekulasi mengenai pengurangan kehadiran tentera AS di Eropah dan desakan Washington supaya sekutunya di benua itu melabur lebih banyak dalam pertahanan masing-masing.

Presiden AS, Donald Trump dilihat bertegas mahu menghukum sekutu yang gagal menyokong perang diketuai AS terhadap Iran atau tidak menyumbang kepada pasukan pengaman di Selat Hormuz yang strategik.

Pentagon pada awal Mei lalu mengumumkan Washington akan menarik keluar 5,000 anggota tenteranya dari Jerman.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN