KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan hasrat untuk terus berkhidmat kepada negara walaupun bukan menerusi jawatan dalam kerajaan.
Katanya, seseorang boleh menyumbang kepada negara dalam pelbagai cara dan baginya, perkara itu lebih utama.
“Saya juga telah nyatakan sebelum ini bahawa saya berhasrat untuk menyertai PKR ,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sosialisasi Serantau Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Wawasan Komuniti ASEAN 2045, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memberi tumpuan kepada tugas semasa di kementerian itu sebelum menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Senator yang dijadual berakhir Disember ini.
“Keutamaan ketika ini adalah untuk menamatkan tempoh sebagai Senator, selain menyelesaikan pelbagai urusan penting berkaitan pelaburan dan perdagangan negara selaras tanggungjawab di kementerian,” katanya.
Mengulas mengenai kedudukannya sebagai Menteri selepas tamat tempoh sebagai Senator, Tengku Zafrul berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan Perdana Menteri.
“Saya memang berniat untuk terus menyumbang dalam kapasiti saya di MITI. Namun, sama ada saya kekal sebagai Menteri selepas Disember, itu bergantung kepada keputusan Perdana Menteri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan kononnya peletakan jawatan tersebut dilakukan untuk membuka ruang bagi memegang jawatan lain dalam kerajaan termasuk sebagai Menteri Besar.
“Itu tidak benar. Saya sudah pun nyatakan perkara ini sebelum saya letak jawatan. Saya tidak pernah kata mahu bertanding mana-mana pilihan raya kecil,” katanya.
Sebelum Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja. – UTUSAN