KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) antara perkara yang diberi penekanan oleh Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail sebaik dilantik sebagai Ketua Polis Negara Ke-15, berkuat kuasa hari ini.
Mohd. Khalid berkata, fokus terhadap AI bakal diketengahkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih maju pada masa akan datang.
“Dengan ruang dan peluang yang diberikan, saya percaya saya akan membawa PDRM lebih cemerlang selari dengan perubahan pemodenan pasukan terutama sekali melibatkan teknologi-teknologi terkini.
“Isu AI perlu diketengahkan supaya pasukan kita lebih maju pada masa akan datang serta dapat menangani semua permasalahan yang timbul sama ada dalam bentuk jenayah atau apa-apa ancaman kepada kita di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Paluan Berundur Ketua Polis Negara Ke-14 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, beliau akan meneruskan segala tindakan dilaksanakan Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini.
“Saya percaya peluang dan ruang untuk saya mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan terutama sekali dalam menangani isu jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan terhadapnya menerajui PDRM.
“Ia adalah tanggungjawab dan amanah ini kepada saya untuk bersama-sama dengan rakyat,” katanya.
Mohd. Khalid dilantik selaku Ketua Polis Negara secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun hingga 22 Jun 2027.
Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis. – UTUSAN