TDM guna AI tingkat keselamatan di sempadan negara

TDM guna AI tingkat keselamatan di sempadan negara

TENTERA DARAT MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) terus memperkukuh aspek keselamatan perbatasan negara menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sejak tahun 2021 dan sewaktu Covid-19 dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan termasuk Op Benteng.

Teknologi itu digunakan menerusi sistem pengesanan pencerobohan atau intrusion detection system yang berupaya mengesan pergerakan serta gegaran mencurigakan di kawasan sempadan.

Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, sistem itu telah dipasang di setiap formasi yang ditugaskan di sempadan dan terbukti membantu mengekang pelbagai cubaan menceroboh negara.

“Antara kejayaan terbaharu yang diperoleh adalah hasil tangkapan di kawasan sempadan yang dikesan menggunakan sistem ini dan ia bukanlah kali pertama membantu mempercepat tindakan pasukan,” katanya kepada pemberita di Majlis Ibadah Korban Perdana Tentera Darat di Padang Kawad, Kem Sungai Besi di sini, hari ini.

Tambah beliau, TDM telah menggunakan sistem itu sejak 2021 dan ia memberikan impak yang positif dalam usaha memperkukuh kawalan keselamatan di Sempadan Malaysia-Thailand serta di kawasan Kalimantan.

Katanya lagi, penggunaan AI menunjukkan kesungguhan TDM dalam memastikan setiap aset dan peralatan terkini digunakan secara optimum bagi mempertahankan kedaulatan negara.

“TDM sentiasa terbuka dengan teknologi-teknologi baharu dan anggota-anggota kita memang dilatih secara khusus, termasuk graduan daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didedahkan dengan pembelajaran dalam bidang AI.

“Keberkesanan sistem itu terbukti apabila TDM berjaya mengesan pergerakan dua individu yang cuba meloloskan diri di Laluan Haram 8, Kalabakan, Sabah Ahad lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN