Kecerdasan buatan uji kepercayaan, ancam dunia digital?

Kecerdasan buatan uji kepercayaan, ancam dunia digital?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECERDASAN buatan (AI) pada awalnya diperkenalkan sebagai alat yang memudahkan dan kemajuan kepada manusia seiring dengan perkembangan pesat teknologi.

Namun, pada hari ini wujud persoalan besar di peringkat global apabila AI semakin dilihat sebagai ancaman, sekali gus mencetuskan sentimen penolakan dalam kalangan manusia.

Kebencian terhadap teknologi bukan perkara baharu kerana sejarah pernah menyaksikan kebangkitan penentangan terhadap mesin ketika Revolusi Industri apabila pekerja bimbang kehilangan pekerjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kali ini, ia bukan sahaja mengakibatkan manusia kehilangan pekerjaan, malah berkembang menjadi senjata dalam landskap teknologi moden.

Lebih membimbangkan, peningkatan penyalahgunaan teknologi AI, khususnya melibatkan penggunaan deepfake, dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang mencetuskan rasa curiga serta penolakan masyarakat terhadap teknologi tersebut.

AI bukan lagi sekadar membantu manusia menaip, mengira atau menganalisis data. Ia kini mampu menulis, bercakap, melukis, mencipta muzik dan membuat keputusan yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh pemikiran manusia.

Pekerja melihat AI sebagai pesaing. Seniman melihatnya sebagai pencuri kreativiti. Pendidik pula bimbang pelajar bergantung sepenuhnya kepada mesin tanpa berfikir.

Apabila AI mula mengambil alih fungsi intelektual, kebimbangan manusia bukan lagi tertumpu kepada kehilangan pekerjaan fizikal, tetapi kehilangan nilai dan makna kewujudan diri.

Di sebalik manfaatnya, AI juga mula mendedahkan sisi gelap teknologi dengan mampu menghasilkan kandungan palsu, penipuan digital dan manipulasi imej telah mencetuskan ketakutan baharu dalam masyarakat.

Fenomena deepfake membuktikan bagaimana AI boleh digunakan untuk menjatuhkan maruah individu, memusnahkan reputasi dan menimbulkan kekeliruan antara realiti dan palsu.

Apabila kepercayaan terhadap visual dan audio tidak lagi boleh dipegang, manusia mula hilang keyakinan terhadap teknologi yang suatu ketika dahulu diagungkan.

Pada ketika ini, AI kini digunakan untuk menghasilkan kandungan seksual tanpa persetujuan termasuk melibatkan wanita dan kanak-kanak. Situasi ini bukan sahaja tidak beretika, malah melanggar nilai kemanusiaan.

Apabila teknologi gagal dikawal, kemarahan masyarakat tidak lagi tertumpu kepada individu tetapi kepada sistem dan penciptanya.

Utusan Malaysia pernah melaporkan, hampir tiga juta pekerja di negara ini dijangka terkesan akibat peralihan pesat ke arah penggunaan AI, pendigitalan dan agenda ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menurut Kajian Impak AI, Pendigitalan dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia yang dilaksa­nakan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), dianggarkan kira-kira 685,000 pekerja akan meng­alami gangguan tahap tinggi, melibatkan 18 sektor utama pekerjaan.

Ia melibatkan jumlah keseluruhan lebih 5.6 juta tenaga kerja, sekali gus mencerminkan perubahan besar terhadap landskap pekerjaan negara.

Bagaimanapun, kajian ber­kenaan menegaskan impak yang bakal berlaku bukan sekadar kehilangan pekerjaan, sebaliknya melibatkan perubahan ketara terhadap peranan, kemahiran dan kaedah kerja, selari dengan kemajuan teknologi dan keperluan kelestarian.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Azrul Zafri Azmi berkata, teknologi AI yang sepatutnya menjadi pemangkin inovasi kini semakin dikaitkan dengan ancaman keselamatan susulan kekerapan kes penipuan yang menggunakan manipulasi suara dan wajah secara realistik.

Katanya, pendedahan berulang masyarakat kepada kandungan palsu yang kelihatan terlalu nyata menyebabkan AI dilihat sebagai ancaman, bukannya alat kemajuan, sekali gus menghakis kepercayaan awam terhadap ekosistem digital.

“Perkembangan pesat AI ketika ini juga didakwa jauh mendahului keupayaan sistem keselamatan siber dan kerangka perundangan sedia ada untuk mengawalnya.

“Undang-undang dan dasar awam lazimnya mengambil masa yang panjang untuk digubal, sedangkan teknologi AI boleh berubah dalam tempoh yang singkat. Jurang ini membuka ruang kepada eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azrul Zafri turut menegaskan kegagalan platform digital mengawal penyebaran kandungan berisiko tinggi berasaskan AI telah memberi kesan langsung terhadap persepsi masyarakat.

“Apabila penipuan, penyamaran identiti dan manipulasi AI boleh tersebar luas tanpa tindakan pantas, masyarakat tidak lagi menyalahkan pelaku semata-mata, sebaliknya mengaitkan ancaman tersebut dengan teknologi AI itu sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azrul Zafri berkata, kekerapan penipuan digital yang semakin meyakinkan akibat penggunaan AI turut mencetuskan ketidakpercayaan awam terhadap keseluruhan ekosistem digital, termasuk transaksi kewangan dan komunikasi harian.

“Apabila orang ramai tidak lagi pasti sama ada panggilan, mesej atau video yang diterima adalah sahih, kepercayaan terhadap dunia digital akan terus terhakis,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kegagalan kawalan keselamatan dan etika AI boleh mendorong kepada penolakan besar-besaran terhadap teknologi itu pada masa hadapan.

“Sejarah membuktikan bahawa masyarakat tidak menolak teknologi kerana ia baharu tetapi kerana kesan mudaratnya gagal dikawal,” katanya.

Azrul Zafri turut memberi amaran AI kini berpotensi menjadi senjata siber apabila digunakan sebagai pengganda kuasa dalam serangan berasaskan manipulasi sosial dan eksploitasi emosi manusia.

“AI bukan sahaja menyerang sistem, tetapi mengeksploitasi kepercayaan dan emosi manusia, menjadikan penipuan lebih sukar dikesan walaupun oleh pengguna berpengalaman,” katanya.

Beliau menambah, penyalahgunaan deepfake dan manipulasi AI turut mencetuskan krisis kepercayaan digital apabila bukti visual dan audio tidak lagi boleh dianggap sahih secara automatik.

Situasi itu, katanya, menjejaskan reputasi individu, keyakinan terhadap institusi serta keselamatan transaksi digital, sekali gus mendorong desakan awam supaya kerajaan mengenakan kawalan lebih ketat terhadap teknologi berisiko tinggi.

Mengulas isu penggunaan AI dalam sektor awam, Azrul Zafri berkata, MCCA menyambut baik gesaan kerajaan agar penjawat awam memanfaatkan AI bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berhati-hati.

Menurut beliau, penggunaan platform AI global menimbulkan kebimbangan berkaitan kedaulatan data negara, khususnya risiko pemindahan data rentas sempadan dan pendedahan maklumat strategik kerajaan.

“Isu ini bukan soal menolak AI, tetapi memastikan data kerajaan tidak menjadi sebahagian daripada ekosistem latihan atau analisis pihak luar tanpa kawalan penuh negara,” katanya.

Sehubungan itu, MCCA berpandangan penggunaan AI dalam sektor awam perlu disokong oleh dasar nasional yang jelas, keutamaan kepada infrastruktur tempatan atau milik kerajaan serta garis panduan ketat kepada penjawat awam.

Pendekatan seimbang itu, menurut beliau, penting bagi memastikan manfaat AI dapat dimaksimumkan tanpa mengorbankan keselamatan negara dan kepercayaan rakyat. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini