BAGAN SERAI: Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) bagi menambah keupayaan Sungai Perak membekalkan air ke Tasik Bukit Merah di sini, perlu disegerakan untuk menjamin kelangsungan tanaman padi di daerah Kerian yang kerap berdepan krisis air terutama ketika musim panas.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPNP), Datuk Sham Mat Sahat berkata, pengairan sawah di Kerian bergantung penuh kepada Tasik Bukit Merah yang merupakan tasik buatan manusia berusia lebih 110 tahun, namun ia dilihat kian kehilangan kapasitinya sebagai kawasan tadahan.
Katanya, penyaluran air dari Sungai Perak merupakan keperluan mendesak kerana Tasik Bukit Merah tidak lagi mampu menampung keperluan pelbagai sektor.
“Kami menggesa supaya projek pemindahan air dari Sungai Perak ke tasik ini diluluskan dan dilaksanakan segera. Ini soal masa depan sawah padi di Kerian. Air dari Tasik Bukit Merah tidak cukup dan usaha mendalamkan dasar tasik juga berisiko tinggi kerana struktur tanahnya yang rapuh,” katanya ketika ditemui majlis penyerahan bantuan pertanian di sini, semalam.
Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keluluskan peruntukan sekitar RM4 billion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah yang sebahagiannya untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.
Sham berkata, krisis pengairan yang berlaku bukan sahaja menjejaskan hasil tanaman malah memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan negara, memandangkan Kerian adalah kawasan pengeluaran padi utama Perak.
Beliau turut mencadangkan peruntukan tambahan segera disalurkan bagi kerja-kerja penyahgambutan dan pembersihan dasar Tasik Bukit Merah bagi meningkatkan semula kapasiti takungan air, sementara menunggu pelaksanaan SPRWTS.
“Kami juga harap agensi kerajaan seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berbincang untuk merancang penyelesaian mampan. Masalah air untuk sawah di Kerian bukan isu sementara, tapi sudah berlarutan bertahun-tahun,” katanya.
Menurutnya, selain kekurangan air ketika kemarau, penduduk di Kerian juga berisiko dilanda banjir kerana pelepasan air tasik terpaksa dilakukan sewaktu hujan lebat. – UTUSAN