TEMERLOH: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap penularan ajaran sesat aliran Al-Ahmadiah yang dikesan berlaku di daerah ini, meskipun sudah lama difatwakan haram oleh pihak berkuasa agama negara.
Baginda bertitah, penyebaran ajaran salah seperti aliran Al-Ahmadiah boleh merosakkan akidah umat Islam dan menggugat keharmonian hidup masyarakat, khususnya di negeri ini yang sejak sekian lama berpaksikan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Ajaran ini telah diharamkan. Kenapa masih ada tiga, empat orang yang masih mahu menyebarkannya? Dari segi undang-undang dan fatwa, ia jelas menyalahi ketetapan agama,” titah baginda pada majlis pengurniaan bantuan kepada mangsa ribut di Dewan Orang Ramai Paya Luas di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian apabila dimaklumkan terdapat individu yang cuba menyebarkan fahaman sesat berkenaan kepada penduduk setempat di daerah ini. – UTUSAN