JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan RM2 juta bagi memperkukuhkan pembangunan industri durian pada tahun ini, sebagai langkah merangsang pertumbuhan sektor buah-buahan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan itu telah memberi manfaat kepada 341 pengusaha, khususnya pekebun kecil dan sederhana, melibatkan kawasan seluas 650 hektar.
“Ia selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan pengeluaran durian dan buah-buahan lain terus dipertingkatkan secara mampan demi menjamin pulangan ekonomi yang lebih baik kepada pengusaha,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zahari berkata, Johor kekal sebagai negeri dengan kawasan tanaman buah-buahan terbesar negara, meliputi 47,800 hektar atau 32.5 peratus keseluruhan keluasan negara.
Daripada jumlah itu, hampir separuh atau 23,690 hektar merupakan tanaman durian, dengan pengeluaran tahunan mencecah 189,787 tan metrik.
“Durian Johor bukan sahaja memenuhi pasaran tempatan, malah menembusi pasaran eksport ke Singapura, China dan Hong Kong dalam bentuk buah segar serta produk berasaskan durian,” katanya.
Kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pembangunan buah-buahan lain seperti kelapa, nanas, pisang, nangka, jambu batu, tembikai, melon dan betik, dengan sasaran pengeluaran melebihi 900,000 tan metrik setahun menjelang 2027. – UTUSAN










