SST bukan undang-undang mutlak, kerajaan ambil sikap terbuka - Utusan Malaysia

SST bukan undang-undang mutlak, kerajaan ambil sikap terbuka

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim menziarahi anggota FRU, Sarjan Mazlan Mat di Taman Desa Tambun di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan bersikap fleksibel untuk menilai kesan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, setiap keluhan atau pandangan akan didengar untuk memastikan cukai itu tidak menjejaskan kebanyakan rakyat.

“Peluasan SST ini tidak membabitkan barang-barang keperluan asas. Kita kena faham bahawa asas cukai di negara kita ini adalah terendah di rantau ini. Jadi peluasan SST ini tidak membebankan kebanyakan rakyat.

“Ini (SST) bukan undang-undang tuhan, ini undang-undang yang dibuat oleh manusia. Tidak timbul masalah sekiranya perlu ditambah baik atau diteliti semula, akan ada langkah sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi Sarjan Mazlan Mat, 50, iaitu seorang daripada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang menjadi mangsa kemalangan di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Beberapa pertubuhan mewakili peniaga dan industri menyuarakan kerisauan mereka tentang peluasan SST dan ada yang meminta keputusan tersebut ditangguhkan.

Muhammad Kamil berkata, aduan dan keluhan adalah perkara biasa serta pernah berlaku sewaktu kerajaan melaksanakan beberapa dasar baharu termasuk penyasaran subsidi diesel pada tahun lalu.

“Ia bukan sesuatu yang sempurna (pelaksanaan SST). Tetapi kita tetap boleh meneliti semula sekiranya ada beberapa sektor yang perlu diberi pertimbangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga yang merupakan ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), yakin bahawa peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi tidak akan menyebabkan kekacauan politik parti dan kerajaan.

Jelasnya, keputusan Rafizi itu telah diumumkan lebih awal beberapa minggu lalu meskipun baru semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan tersebut.

“Kita hormat keputusan saudara Rafizi yang telah mengotakan apa yang dijanjikan. Atas dasar prinsip apa yang diucapkan, beliau sekadar melaksanakan. Saya tidak fikir ia akan menyebabkan kekacauan politik. Sebaliknya daripada sudut positif, ini budaya politik yang sihat kerana rasa tanggungjawab atas prinsip,” katanya.

Anwar semalam menerima peletakan jawatan Rafizi dan akan membuat keputusan tentang siapa atau kementerian mana yang akan menjalankan tugasan di bawah Kementerian Ekonomi.

Ditanya apakah ciri-ciri serta siapa dirasakan sesuai menggantikan Rafizi, Muhammad Kamil sekadar menjawab orang yang dilantik mesti tahu tentang ekonomi dan Angkatan Muda Keadilan menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk memilih. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN