Kerajaan akui kemarahan rakyat Sabah, janji percepat projek asas - Utusan Malaysia

Kerajaan akui kemarahan rakyat Sabah, janji percepat projek asas

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan nekad menyelesaikan masalah kemudahan asas dan prasarana di Sabah dengan kadar segera bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri di bawah bayu itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau melihat sendiri dan memahami mengapa rakyat di Sabah marah kerana masalah kemudahan asas mereka masih tidak diselesaikan walaupun kerajaan dan Perdana Menteri sering berganti.

“Saya sebagai manusia faham (mengapa mereka) marah, dia kata ‘menteri, kerajaan (dan) Perdana Menteri silih berganti tetapi air (masih) belum berganti, elektrik belum dipasang (dan) jalan lubang-lubang’.

“Jadi dia resah (dan) belum cukup yakin, saya tidak salahkan mereka walaupun kita (kerajaan) telah luluskan jumlah kewangan paling besar dalam sejarah (iaitu sehingga) RM17 bilion, untuk air (sahaja) dekat RM1 bilion (dan) untuk elektrik (pula) RM1.2 bilion tetapi belum siap.

“Jadi selagi belum siap, kerana dia rasa terpinggir sekian lama, kita boleh faham. Sebab itu saya tidak ambil sikap sesetengah orang politik yang marah kerana tidak dapat sokongan, saya cuba faham,” katanya dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid di sini hari ini.

Anwar berkata, kerajaan terus memantau pelaksanaan projek-projek di Sabah dan mesyuarat bulanan akan dilakukan bagi membincangkan mengenai keperluan asas rakyat di negeri tersebut.

“Sebagai menteri, Alexander (Menteri Kerja Raya) akan perhatikan projek-projek (di bawah KKR) dan kementerian lain akan (buat perkara sama) untuk semua projek (di bawah kementerian masing-masing).

“JPM (Jabatan Perdana Menteri) akan pastikan mesyuarat bulanan (dilakukan), supaya hal yang paling penting bagi rakyat iaitu jalan, elektrik dan air itu kita cuba selesaikan dalam segera mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, KKR merupakan tonggak pembangunan oleh itu jika kementerian itu berjaya maka pembangunan negeri akan turut mengecapi kejayaan sama.

“Saya yakin, Insya-Allah saudara (warga KKR) berjaya dengan tekad dan kesungguhan yang ada sekarang,” katanya.

Tambahnya, KKR perlu menyenaraikan semua projek yang sedang dilaksanakan dan merekod prestasi setiap projek.

“Kalau ada, jangan tunggu sehingga selesai. Kita kena ambil sikap lebih keras terhadap kontraktor (yang) sambil lewa dan lambat, untuk pastikan projek itu dilaksanakan mengikut jadual. Pantau dengan teliti, terus ambil tindakan.

“Kemudian yang diuruskan oleh kerajaan negeri sama ada Sabah, Sarawak, Perlis ataupun Kelantan, supaya projek itu dijalankan mengikut jadual, kadang-kadang saudara lebih mengerti apa yang lebih diperlukan di bawah daripada perancangan di atas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN