PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dengan bayaran RM180 ke Seremban, Negeri Sembilan.
Penahanan lelaki itu hasil daripada intipan dan pemantauan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada individu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki yang memandu sebuah kenderaan jenis Produa Aruz ditahan selain kenderaan disita untuk siasatan selanjutnya.
Katanya, siasatan awal mendapati ‘ulat’ itu akan memujuk, merayu selain menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang warganegara Malaysia dari Terminal 1 KLIA ke Seremban, Negeri Sembilan.
“Kadar tambang sebanyak RM180 dikenakan dan akan dibayar apabila sampai ke destinasi.
“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua – duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sesiapa yang dikesan bersubahat melakukan aktiviti itu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), mengikut akta yang sama.
“Orang awam dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” jelasnya. – UTUSAN










