Siasatan polis terhadap Ketua DAPSY keterlaluan

Siasatan polis terhadap Ketua DAPSY keterlaluan

PAHANG
LEE CHIN CHEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan polis menyiasat Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong berhubung karikatur satira politik bukan sahaja tidak masuk akal, bahkan dianggap keterlaluan.

Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen berkata, siasatan terhadap Kah Leong juga berisiko mewujudkan budaya white terror atau penganiayaan dan satu langkah ke belakang yang mengancam asas kebebasan bersuara dalam negara.

Katanya, karikatur satira politik itu adalah bertujuan menyangkal kenyataan berbaur fitnah dilontarkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria.

“Karikatur tersebut adalah satu bentuk ekspresi seni satira yang menyampaikan kritikan terhadap kenyataan-kenyataan ekstrem dan penuh fitnah oleh Razman. 

“Beliau telah sering kali memfitnah antaranya termasuk melontarkan serangan jahat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Sekiranya ahli politik seperti Razman bebas menyebarkan fitnah dan kebencian tanpa sebarang pertanggungjawaban tetapi mereka yang menyampaikan kritikan pula disiasat dan ditekan, maka sistem demokrasi dan kebebasan bersuara akan terancam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Chin Chen, karikatur itu adalah satu bentuk ekspresi politik yang sah di sisi demokrasi dan undang-undang, malah merupakan sebahagian daripada budaya politik matang.

Katanya, satira terhadap ahli politik bukan satu jenayah tetapi cara menyampaikan pandangan, ketidakpuasan hati dan kritikan terhadap pemimpin yang menyalahgunakan pengaruh dan menyebarkan kebencian.

“Jika Razman tidak bersetuju dengan kandungan satira tersebut, beliau seharusnya tampil dengan hujah dan fakta bukannya berselindung di belakang polis untuk menyekat kritikan.

“Saya menyeru agar pihak polis kembali kepada prinsip keadilan dan profesionalisme. Jangan biarkan institusi yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat digunakan menjadi alat kepada pihak tertentu untuk membungkam suara rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN