PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan Majlis Alumni Belia disifatkan sebagai platform alternatif kepada bekas pemimpin belia pasca 30 tahun untuk terus menyumbang kepada negara.
Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, majlis tersebut bukanlah ‘batu loncatan politik’ atau ‘kelab pencen’ yang hanya menghimpunkan individu dengan nostalgia semata-mata tanpa peranan yang relevan kepada pembangunan belia masa kini.
Katanya, ia perlu kekal bebas dan tidak berpaksikan politik agar tidak dilihat hanya sebagai ruang elit mendekati pemimpin, sebaliknya benar-benar berfungsi sebagai badan konsultatif yang menyumbang idea, dasar dan bimbingan kepada generasi muda.
“Alumni belia wajar diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan sebagai satu entiti yang mampu berperanan menyokong pembangunan dasar belia secara berstruktur dan tersusun dalam ekosistem sedia ada.
“Ini termasuk memberi ruang kepada mereka menyumbang melalui platform seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) atau menjadi penasihat kepada MBM dan KBS. Tetapi, peranan mereka mestilah bersifat nasihat, bukan mengawal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jufitri berkata, badan itu perlu terdiri daripada bekas pemimpin akar umbi yang telah lama bekerja dengan komuniti, mempunyai jaringan meluas, serta berpengalaman dalam menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan dan menyebarkan dasar kerajaan kepada masyarakat.
“Penubuhan majlis ini boleh memainkan peranan penting dalam membimbing belia yang baharu meningkat naik agar mereka lebih bersedia menyertai pelbagai inisiatif dalam bidang teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kerjaya.
“Alumni boleh menjadi mentor kepada anak-anak muda yang baru mahu ‘naik’, dan membawa mereka lebih dekat kepada kerajaan menerusi pendekatan dasar yang bersifat praktikal dan membina.
“Namun, cabarannya ialah bagaimana memastikan majlis ini tidak pasif. Ramai anggap alumni ini sebagai kelab pencen. Jadi, pendekatannya mesti aktif, progresif dan selari dengan keperluan semasa belia,” katanya.
Tambahnya, majlis tersebut juga hanya boleh berjaya jika diterajui oleh individu yang berkaliber, berpengaruh dan dihormati, bukan sekadar dilantik kerana hubungan politik atau kedudukan terdahulu.
“Pembentukan badan ini perlu dilakukan secara konsultatif, dengan mengambil kira pandangan bekas-bekas pemimpin belia dan tokoh masyarakat, bagi memastikan fungsi dan hala tujunya benar-benar memberi manfaat,” katanya. – UTUSAN










