PETALING JAYA: Ibu kanak-kanak autisme, Ismanira Abdul Manaf mengesyaki bahawa Zayn Rayyan Abdul Matin dicekup dan dilarikan oleh seseorang.
Bagaimanapun, wanita terbabit bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bahawa sewaktu kejadian berlaku, dia tidak mendengar bunyi tapak kasut orang lain.
Raja Zaizul Faridah: Puan syak anak puan dicekup dan dilarikan.
Ismanira: Ya.
Raja Zaizul Faridah: Dilarikan orang, ya? Ayat puan dilarikan orang. Jadi orang yang lari ni tentulah puan boleh dengar tapak kaki berlari. Puan setuju tak?
Ismanira: Ya.
Raja Zaizul Faridah: Saya katakan, kalau puan kata dia dicekup dan dilarikan oleh orang, pastinya puan akan dengar bunyi tapak kaki berlari. Puan setuju atau tidak?
Ismanira: Ya.
Raja Zaizul Faridah: Tapi dalam perkara ni, puan tak dengar bunyi orang lari. Betul atau tidak?
Ismanira: Betul.
Raja Zaizul Faridah: Jadi, puan boleh setuju dengan saya, sebenarnya tak ada pun orang yang cekup larikan anak puan pada hari kejadian.
Ismanira: Tidak setuju.
Raja Zaizul Faridah: Kita pasti akan nampak kalau Zayn ada dekat belakang kita, ada orang cekup ke kalau toleh setiap masa.
Ismanira: Bukan setiap masa. Saya menggunakan deria pendengaran saya untuk mengawasi dan ada kalanya saya toleh.
Semalam, Ismanira dalam keterangan bela dirinya menyatakan bahawa berdasarkan maklumat yang dia perolehi, hanya penagih dadah atau pedofil yang mampu melakukan jenayah terhadap anaknya itu.
Selain itu, ibu kepada dua anak itu memberitahu, dia hanya menyedari bahawa Zayn Rayyan tidak berada di belakangnya apabila tidak lagi mendengar bunyi tapak kaki anaknya.
Raja Zaizul Faridah: Dia berjalan di belakang, maksudnya puan memang jalan di hadapan dia, bukan di sebelah, bukan di tepi, memang jalan di hadapan. Ya?
Ismanira: Ya.
Raja Zaizul Faridah: Kemudian, keterangan puan semalam, puan kata, “Tiba-tiba saya sedar tak ada bunyi tapak kasut, tapak kaki”.
Ismanira: Ya.
Raja Zaizul Faridah: Pada ketika mana yang puan sedar tak ada bunyi?
Ismanira: Ketika saya menaiki tangga (untuk) ke rumah (di tingkat dua).
Pada prosiding semalam, Ismanira turut memberitahu, dia sentiasa mengawasi anaknya itu melalui bunyi tapak kaki dan Zayn Rayyan akan berjalan di sekitarnya termasuk sambil memegang baju ibunya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – UTUSAN










