Siapa bintang Hollywood yang ‘caras’ Ellie Suriaty?

Siapa bintang Hollywood yang ‘caras’ Ellie Suriaty?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANNA and the King yang ditayangkan pada 1999 merupakan filem antarabangsa yang membabitkan paling ramai pelakon tempatan.

Selain Deanna Yusoff, Sean Ghazi, Harith Iskander, Allahyarham Zaibo, mendiang Mano Manan, Dharma Harun Al-Rashid, filem itu menampilkan Ellie Suriaty.

Bahkan, Anna and the King merupakan filem pertama yang dilakonkan pelakon yang kini berusia 55 tahun itu. Bagi Ellie, penglibatan dalam filem yang juga dihasilkan di Ipoh dan Pulau Pinang itu ibarat mimpi yang hampir menjadi kenyataan.

Mana tidaknya, jika bukan kerana dicaras seorang pelakon ternama Hollywood, mungkin nama Ellie hari ini terpahat sebagai pembawa watak ketiga penting dalam filem itu.

“Saya cuba nasib untuk watak Tuptim, salah seorang gundik istana. Saya berjaya melepasi tiga peringkat uji bakat dan akhirnya berjaya. Tak dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya ketika itu.

“Saya sebenarnya seperti dapat petanda menerusi mimpi yang saya alami beberapa hari sebelum uji bakat. Antaranya, saya mimpi berada di sebuah bukit yang bertanahkan permata selain mimpi menjumpai gambar sendiri yang bertanda dan diletakkan atas meja di sebuah taman.

“Jadi, ibarat masih bermimpi bila casting director, Priscilla John telefon saya dari London untuk memaklumkan saya dapat watak itu,” katanya.

Kegembiraan yang dirasai Ellie pada waktu itu cuma bersifat sementara. Betapa kecewanya apabila menerima satu lagi panggilan berkenaan pertukaran pelakon pada saat akhir.

“Saya tahu Priscilla juga berat hati untuk memaklumkan berita yang tidak menggembirakan itu kerana beliaulah antara individu yang menginginkan saya melakonkan watak tersebut.

“Dan tentu sekali saya kecewa apabila diberitahu berlaku perubahan di mana pelakon, Bai Ling yang menggantikan saya untuk watak Tuptim.

“Itu adalah momen paling sedih dalam hidup saya, bayangkan betapa besarnya impak watak itu disebabkan ia karakter ketiga penting selepas watak Anna Leonowens lakonan Jodie Foster dan Raja Mongkut (Chow Yun-Fat).

“Tapi, saya terima keadaan itu walaupun saya kecewa. Pihak produksi memaklumkan mereka masih mahukan saya dalam filem itu justeru ditawarkan menjadi salah seorang lagi gundik raja,” ujarnya.
Ellie memaklumkan pelbagai cerita-cerita belakang yang didengarnya mengenai perubahan saat akhir itu. Antara yang dimaklumkan kepadanya dakwaan tentang hubungan sulit antara Bai Ling dengan penerbit filem berkenaan.

“Saya diberitahu kru komersial yang kononnya nama pertukaran pelakon itu ada kaitan dengan hubungan sulit Bai Ling dengan penerbit Reservoir Dogs, Lawrence Bender.

“Kru solekan dan tatarias juga memaklumkan mereka amat terkejut apabila gambar saya, yang sudah pun awal dinaikkan, diturunkan sekelip mata dan digantikan dengan gambar Bai Ling.

“Memang sakit hati saya apatah lagi bila mereka letakkan saya, Bai Ling, Jodie dan Yun-Fat dalam bilik solekan yang sama. Sampaikan saya dengan angkuh berkata kepada penerbit, tak mengapa saya ditukarkan, saya mahu lihat bagaimana produksi filem Barat hasilkan cerita tentang orang Asia.

“Dan dalam bilik itu jugalah saya saksikan dengan mata kepala sendiri Bai Ling menangis kerana enggan rambutnya dibotakkan untuk watak berkenaan,” ceritanya lagi.

Ellie bagaimanapun tidak menolak bahawa filem Anna and the King memberi pengalaman baharu buatnya.

“Pelakon filem itu, tambah lagi yang berdialog, diberi layanan kelas pertama. Kami dijemput pergi dan dihantar pulang dari lokasi penggambaran menaiki kenderaan mewah.

“Bahkan saya diterbangkan dalam kelas pertama untuk ke lokasi penggambaran di Pulau Pinang.

“Pelakon juga diberi elaun sebanyak RM1,000 untuk keperluan makan minum satu minggu. Elaun ini tidak termasuk bayaran lakonan kami,” jelasnya.

AWAN BIRU
Ellie Suriaty pernah bertugas di awan biru sebelum bertukar bidang kepada dunia seni.

Kongsi Ellie, tujuan menjadi pramugari semata-mata untuk berjumpa rakan baiknya, Mazarita Maznor, yang menetap di luar negara.

“Awalnya saya ditugaskan di bahagian pemprosesan tiket penerbangan. Tapi saya mahu pastikan yang saya hanya berada dalam jabatan itu untuk satu tahun sahaja sebelum beralih bidang.

“Saya cari jalan macam mana caranya untuk saya melawat Mazarita. Disebabkan itulah saya hadir temu duga menjadi pramugari supaya saya boleh ke Amerika Syarikat untuk berjumpa dengannya.

“Impian saya tercapai, tapi saya bertahan menjadi pramugari selama tujuh tahun,” katanya.

Selepas itu, Ellie beralih kepada bidang hiburan, bermula sebagai hos rancangan Video M sebelum berjinak-jinak dalam dunia teater di bawah bimbingan Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan.

“Hubungan saya dengan Syed Alwi rapat sehinggakan saya memanggilnya ‘ayah’. Saya bangga jadi protege beliau kerana Syed Alwi figura yang sangat dihormati penggiat teater.

“Beliau tidak ajar lakonan, tetapi mendidik saya berfikir secara intelektual. Kebetulan ketika itu saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, jadi saya dapatkan pandangan beliau.

“Syed Alwi kata saya kena buat pilihan, sama ada mahu menjadi pendidik atau penggiat seni. Saya pilih jadi penggiat seni kerana saya boleh belajar melalui pengalaman,” ujarnya.

SPINNING GASING

Filem ini antara naskhah terawal yang dijayakan Ellie Suriaty sepanjang karier lakonannya.

Watak Yati diibaratkan sudah ditentukan untuk Ellie yang sebelum filem ini dihasilkan lagi, tidak terfikir akan memegang watak utama.

“Sebenarnya pada awal saya hanya membantu rakan iaitu Richard untuk mencari pelakon filem itu. Antara nama-nama dalam senarai ialah Maya Karin, Erra Fazira, Ziana Zain dan ramai lagi.

“Saya bantu uji bakat dengan menjadi rakan ‘sparing’ kepada pelakon yang mencuba nasib untuk sesi tersebut. Antara yang hadir uji bakat ialah Datuk Rosyam Nor dan arwah Hani Mohsin.

“Pengarah, Teck Tan mengenali suara saya ketika uji bakat sebab kami sebelum itu pernah bekerjasama. Beliau kemudian meminta saya uji bakat sebelum saya terpilih untuk watak Yati,” ceritanya.

TIADA DARAH SENI

Ellie Suriaty membesar di Petaling Jaya, Selangor. Meskipun ibunya berasal dari Perak, dia tidak pernah tinggal di kampung.

“Saya dibesarkan cukup kasih sayang, mak ayah pula sangat menyokong minat anak-anak.

“Saya tak ada darah seni, tapi entah kenapa minat saya lebih cenderung kepada bidang ini.

“Dulu, lepas sekolah saya akan tonton wayang di pawagam di Petaling Jaya dengan kadar bayaran pelajar iaitu 50 sen.

“Antara filem terawal yang saya tonton adalah Dia Ibuku, Ceritaku Ceritamu, filem Tamil, Nagin, Superman dan banyak lagi.

“Saya teruja melihat visual yang keluar dari layar lebar dan saya tertanya-tanya, macam mana perkara itu berlaku. Persoalan itu membuatkan saya mahu menjadi orang filem,” terangnya

Ellie merupakan pelajar yang aktif dalam bidang seni, terutamanya teater dan koir. Pelakon filem Spinning Gasing ini juga aktif dalam bidang muzik dengan pendedahan menerusi pasukan pancaragam.

“Malah saya bermain trombone berwarna emas, berbeza dengan pemain trombone lain dalam pasukan pancaragam sekolah.

“Kami belajar membaca nota muzik, menerima latihan dari pegawai berpangkat Timbalan Setia dalam pasukan tentera.

“Jadi, disiplin yang didedahkan kepada kami sama dengan yang diajarkan dalam pasukan pancaragam tentera.

“Pada saya, pendedahan dalam bidang seni di sekolah membentuk disiplin saya ketika awal dahulu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN