PETALING JAYA: Seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas disyaki ditembak dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa lagi rakan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kemudian mereka dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM dengan seorang daripadanya mengalami kecederaan serius manakala seorang lagi cedera ringan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Ku Mashariman berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terlibat.
Katanya, polis percaya suspek dapat dikenal pasti dalam masa terdekat.
“Tiada perkara yang perlu menggusarkan orang awam buat masa ini dan polis akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi polis atau balai berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN