Semakan tauliah agama dibuat berterusan, tidak sasar individu

Semakan tauliah agama dibuat berterusan, tidak sasar individu

MOHD. Fared Mohd. Khalid (dua kiri) menyantuni ahli keluarga Allahyarham Misnan Ahmad yang dilaporkan meninggal dunia ketika berada di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengingatkan mana-mana individu yang mahu memberikan pengajian atau ceramah agama di negeri ini untuk mendapatkan tauliah terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya akan melakukan semakan pentauliahan secara berterusan dan bukan bermusim.

Katanya, pihaknya juga tidak menyasarkan mana-mana individu tertentu atau dibuat secara bermusim mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Kita tidak khususkan sesiapa atau mana-mana individu, sebaliknya mereka yang mahu menyampaikan ilmu agama di Johor, wajib memiliki tauliah mengikut Seksyen 11 Enakmen digariskan. Tidak ada pengkhususan atau pengecualian.

“Penceramah yang datang ke negeri kita, sama seperti jika saya datang ke negeri awak, mesti ada adab tertentu. Itu pesanan kita, jadi jika tidak dapat tauliah, jangan marah (sekiranya tindakan diambil),” katanya selepas melawat keluarga jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Mekah, Allahyarham Misnan Ahmad, 60, di kediaman keluarganya di Taman Gembira, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Fared mengingatkan agar semua penceramah yang mahu sampaikan ilmu wajib bertauliah agar terdapat keseragaman dan dipermudahkan urusan.

“Isu sebenar bukan kerana seseorang itu tidak diberi tauliah, tetapi lebih kepada keperluan mengikut susunan dan peraturan yang telah ditetapkan pihak berwajib. Ramai ada ilmu dan ingin menyampaikan dakwah, tetapi perlulah melalui proses permohonan dan kelulusan tauliah oleh panel bertauliah MAINJ. Kita ada panel yang menilai.

“Enakmen Seksyen 11 ini bukan terpakai di Johor sahaja, seluruh negeri pakai. Saya ke Kelantan atau Terengganu ada peraturan seumpama itu, tauliah bukan secara tiba-tiba ada,” jelasnya.

Khamis lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan Ustaz Esa Deraman atau dikenali sebagai Pok Ku Pasir Gudang di sebuah kediaman kerana disyaki memberi ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali dilaporkan berkata, individu berusia 50 tahun itu pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2016, manakala berjaya melarikan diri dalam satu serbuan lain pada 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN