SHAH ALAM: Penubuhan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu oleh Perikatan Nasional (PN) semata-mata bermotifkan politik dan jauh ketinggalan berbanding perjuangan berterusan UMNO dalam membela nasib kaum Melayu dan Bumiputera sejak sekian lama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) konsisten memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera termasuk Sabah, Sarawak, Orang Asli dan kaum Siam sejak puluhan tahun.
“Sekretariat Melayu oleh PN itu lebih kepada agenda politik. Perjuangan Melayu sudah lama diperjuangkan UMNO dan BN. Tidak perlu disokong perkara itu kerana kita sudah, sedang dan terus buat,” katanya selepas menyerahkan surat setuju terima (SST) bagi Projek Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi, di sini hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Madani juga telah mengadakan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang jauh lebih besar dan berkesan membantu Bumiputera.
“Saya terlibat sejak peringkat awal KEB, banyak perancangan telah dan sedang dilaksanakan. Ia lebih nyata berbanding sekretariat politik yang baru difikirkan semalam,” katanya.
Tambahnya, lebih baik ahli UMNO menyertai KEB yang memberi impak besar kepada pembangunan Bumiputera daripada menyertai Jawatankuasa Sekretariat Melayu.
“Contohnya pagi ini, semua 127 kontraktor yang menerima SST adalah Bumiputera. Ini bukti nyata komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan dasar inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan satu gerakan dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu ditubuhkan bagi menyatukan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa inisiatif itu sebagai langkah mengembalikan kekuatan politik dan mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini.
Terdaulu, beliau mengadakan perbincangan penubuhan sekretariat itu bersama beberapa pemimpin antaranya Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mengulas lanjut, kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, KEB dan semua agensi terlibat jauh lebih besar berperanan membantu Bumiputera sekali gus menunjukkan komitmen jitu Kerajaan Madani.
“Saya yang terlibat pada peringkat awal kongres itu tahu berapa banyak perancangan yang telah dan akan dilakukan.
“Itu lagi jauh berkesan daripada sekretariat politik yang baharu difikir PN. Orang sudah fikir lama dah, dia (PN) baharu terfikir semalam nak buat,” katanya.
Tambah beliau, semua ahli UMNO lebih baik memasuki mana-mana sekretariat KEB berbanding Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu itu.
“Kita (Kerajaan Madani) betul-betul melaksanakan. Sebagai contoh pagi ini (majlis penyerahan SST), semua 127 (kontraktor) yang dapat adalah Bumiputera. Itu jelas dan nyata.
“Ini komitmen kami di Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kerja Raya. Dia (Dr. Mahathir) baru nak bercerita dan panggil media. Kita sudah buat lama,” katanya. – UTUSAN