Persempadanan semula: Sokongan UMNO Selangor dijangka merudum

Persempadanan semula: Sokongan UMNO Selangor dijangka merudum

Himpunan Daulat Tuanku
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: UMNO khuatir kehilangan sokongan yang lebih besar apabila kerajaan melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.

Antara kawasan yang dijangka memberi kesan dan mungkin menyebabkan UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak lagi berpeluang mewakili kawasan tersebut seperti Parlimen Kota Raja, Bangi dan Subang.

Naib Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat UMNO (Mubarak), Tan Sri Zainal Dahlan berkata, situasi berkenaan dijangka berdasarkan kedudukan BN khususnya UMNO yang hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Sungai Air Tawar dan Dusun Tua.

Sementara tiada satu parlimen berjaya dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Katanya, berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan selepas kali terakhir dibuat lapan tahun lalu, bermula 26 Mac tahun depan.

“Kita hanya tinggal dua kerusi daripada 12 yang diperuntukkan kepada BN. Jadi apabila berlaku persempadanan semula, maka tentunya ada kebaikan dan keburukan.

“Kaedah persempadanan, kalau mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengikut kepada jumlah pengundi berasaskan kepada tiga kategori iaitu kawasan bandar, separa dan luar bandar,” katanya pada Town Hall Veteran UMNO Selangor Sesi Ke-4: Pengurusan Persepsi dan Isu-Isu Semasa Menjelang PRU16, hari ini.

Jelas Zainal, bagaimanapun perkara itu dijangka sudah dibincangkan terutama di peringkat negeri apabila mendakwa sekurang-kurangnya Menteri Besar sudah pun mempunyai perancangan.

“Jadi, apa kemungkinan yang berlaku, saya ada mengadakan perbincangan dengan bekas (Timbalan) Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, biasanya dalam masa-masa peringkat seperti ini, negeri biasanya sudah ada perancangan.

“Jadi, mereka (kerajaan negeri) biasanya berdasarkan dengan seluruh pemerintah negeri sudah melakarkan kawasan-kawasan yang mungkin boleh ditambah atau disusun balik,” tambahnya.

Malah, beliau menegaskan, keadaan itu diburukkan lagi dengan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang dikatakan mahu keluar daripada gabungan.

“Ikut perlembagaan BN, kalau parti-parti itu keluar daripada BN, akhirnya BN akan dibubarkan, tak boleh lagi ada BN. Jadi, tinggal UMNO sahaja. Jadi, itu akan memberikan kesan dalam soal persempadanan semula kawasan.

“Kalau ditambah kalau pun kawasan DUN misalnya 56 menjadi 60, apa untungnya kepada kita?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN