SHAH ALAM: Tindakan pimpinan PKR, Wong Chen dan DAP, Yeo Bee Yin yang mempersenda keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyakitkan hati ahli-ahli UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, situasi tersebut turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan ketua-ketua bahagian parti itu serta anggota MKT.
“Lepas itu ada pula Ahli Parlimen Subang (Wong Chen) yang kata ‘justice prevail’, semua itu perkataan-perkataan yang menyakitkan hatilah. Bee Yin, bekas menteri pun mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati.
“Jadi, sekarang kita sedang ‘membantailah’ mereka di pihak-pihak yang membantai perkara itu. Bisa sebut tentang ‘UMDAP’ lagilah menyakitkan hati,” katanya ketika berucap dalam Town Hall Veteran UMNO Selangor Siri Ke-4: Pengurusan Persepsi dan Isu-Isu Semasa Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Titah Adendum yang membenarkan bekas Najib Razak yang juga Perdana Menteri menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah.
Hakim Yee Ching menyatakan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61.
Susulan itu, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilapor menegur sikap Bee Yin yang ‘meraikan’ keputusan tersebut dan menegaskan tindakan sedemikian tidak wajar kerana melibatkan kesan besar kepada individu serta keluarga terlibat.
Mengulas keputusan tersebut, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, isu yang dibangkitkan oleh Mahkamah Tinggi adalah titah adendum tidak dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Jadi, kata mahkamah, tak boleh menerima sebagai satu arahan ataupun pengampunan. Jadi, Najib Razak dikembalikan ke Penjara Kajang, itu tadi yang berlaku.
“Katanya, Seri Paduka Baginda sepatutnya membuat keputusan itu di dalam mesyuarat, bukan luar mesyuarat,” ujarnya. – UTUSAN










