MERSING: “Dua anak saya hilang dalam sekelip mata dihanyutkan ombak kuat ketika bermain di pesisiran pantai.”
Demikian cerita Nurul Huda Abdul Rahman, 44, yang kehilangan anak ketiga dan keempat daripada lima beradik, Nur Awatif Udaima Mohd. Hisam, 15, dan Ahmad Uwais Al Qarni, 13, yang lemas ketika bermain di pesisiran pantai Pulau Mentigi, dekat sini, kira-kira 3.30 petang semalam.
Dia dan tiga anak serta lima ahli keluarga lain datang ke pulau berkenaan serta menginap di inap desa saudaranya dan merancang pulang hari ini.
“Kami datang untuk berkelah sahaja, baru sahaja sampai, tidak sempat pun ambil gambar apa-apa. Selepas makan, mereka main tepi pantai, tidak lama selepas itu kakaknya datang minta saya betulkan sauk koyak.
“Saya baru saja nak bagi balik, tiba-tiba adik bongsu datang berlari, cakap kakak dan abang tak nampak. Saya terus bangun, masa itu tengok sepupu mereka ada sorang saja, dua anak saya tiada.
“Mereka bukan main air pun, baru sahaja nak main di tepi pantai hari ini. Ombak datang dan menarik mereka berdua dengan seorang sepupu, namun sepupunya selamat,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bahagia, dekat sini hari ini.
Menurutnya, Nur Awatif merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, manakala Ahmad Uwais bersekolah di tingkatan satu, Sekolah Menengah Arab Al-Khairiah.
Ketika kejadian, suaminya, Mohd. Hisam Md. Sahar, 46, dan dua lagi anaknya tidak pergi bersama kerana mereka menetap di Kulai dan hanya pulang setiap hujung minggu.
“Saya reda dengan ketentuan Allah, tapi semua berlaku terlalu pantas. Kami bukan biarkan mereka mandi dan kawasan itu pun bukan cerun atau bahaya, tapi ombak memang kuat masa tu. Semoga kedua-dua anak kami ditempatkan dalam syurga ” katanya.
Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Kariah Batu 3, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.