KUALA LUMPUR: “Itu lagu pertama yang membuat orang mengenali diri saya. Saya agak sedih ada yang sudah jemu mendengarnya.”
Demikian kata penyanyi, Nadeera Zaini yang berharap agar orang ramai tidak bosan mendengar dirinya menyanyikan lagu Bukan Lagi Kita berulang kali di mana-mana acara.
Menurut Nadeera, kejayaan lagu tersebut adalah punca dirinya mempunyai kedudukan yang stabil dalam industri muzik meskipun cakna dengan luahan sesetengah netizen mengenai perkara itu.
“Ada saja saya terbaca netizen tanya saya tiada lagu lain ke? Namun, masih ramai lagi peminat yang suka mendengar saya menyanyikan lagu itu.
“Bukan Lagi Kita adalah lagu yang membawa saya di sesuatu tempat yang baru di mana saya pernah masuk program realiti kerana lagu itu,” katanya.
Nadeera berkongsi perkara itu ketika ditemui di Big Stage Alpha Showcase, yang berlangsung di Pavilion, kelmarin.
Tambah penyanyi itu, dia juga bimbang sekiranya lagunya yang lain tidak mendapat sambutan sehangat lagu lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh tersebut.
“Saya bimbang juga jika lagu-lagu saya akan datang tidak mendapat sambutan hangat seperti Bukan Lagi Kita. Namun, saya yakin setiap lagu itu ada rezeki tersendiri. Kita tak tahu nasib sesebuah lagu itu macam mana.
“Saya harap lagu ini terus menjadi malar segar dan saya berharap akan ada lagu baharu yang setanding dengan lagu Bukan Lagi Kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nadeera bakal membuat kemunculan di konsert sulung Hael Husaini pada Ogos depan.-UTUSAN